Dana tambahan perlu bagi lengkapkan naik taraf padang Stadium Paroi - Utusan Malaysia

Dana tambahan perlu bagi lengkapkan naik taraf padang Stadium Paroi

TUNKU Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz dan Mustapha pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan sedang dalam peringkat mengumpul sejumlah dana bagi melengkapkan proses menaik taraf fasiliti di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini termasuk penukaran rumput padang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, dana tersebut juga bertujuan menampung kos penyelenggaraan rumput padang yang akan digantikan kelak yang turut dibantu geran sebanyak RM500,000 disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kata beliau, menerusi geran berkenaan, sebanyak RM300,000 telah digunakan bagi memperbaiki sistem saliran padang di stadium tersebut.

“Untuk sistem saliran padang, ia sudah disiapkan manakala keadaan rumput pula ketika ini masih okay, kami sambut pandangan KBS untuk menukar rumput cuma kami sedang kumpul dana lagi kerana untuk menukar rumput ia menelan belanja lebih RM1 juta sedangkan dana yang ada hanya RM200,000.

“Sementara untuk menukar rumput tersebut, kami juga perlu mengutamakan fasiliti lain yang lebih mustahak di stadium berkenaan untuk dinaik taraf seperti bilik persalinan sementara keadaan rumput masih lagi baik. Selepas dana mencukupi, penggantian rumput adalah fasa seterusnya.

“Tiada isu di Negeri Sembilan mengenai geran itu, kami telah gunakan sebanyak RM300,000 untuk memperbaiki sistem saliran padang dan baki RM200,000 akan disimpan untuk penggantian rumput namun sekiranya KBS meminta untuk kami pulangkan kembali, ia akan dipulangkan kerana kami faham ia merupakan wang kerajaan yang perlu diaudit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2024 (HSN2024) Peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa 10 negeri yang sudah menerima peruntukan secara keseluruhan RM4.6 juta untuk menyegerakan pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri.

Beliau menegaskan, geran yang diberikan itu harus digunakan sebaik mungkin untuk membaiki sistem saliran serta pertukaran rumput dan tidak boleh sama sekali menggunakan peruntukan untuk tujuan lain.

Katanya, sekiranya negeri-negeri terbabit enggan mempersetujuinya, KBS akan menarik semula peruntukan dan negeri berkenaan wajib memulangkan semula jumlah yang sudah diterima itu.

Negeri Sembilan merupakan salah satu negeri yang menerima peruntukan penuh tersebut selain Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka sementara Perlis dan Kedah hanya melakukan naik taraf saliran padang sahaja.

Sementara itu, Mustapha memaklumkan, Negeri Sembilan belum lagi membuat pilihan jenis rumput bagi penukaran rumput di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

“Apabila kita tukar rumput baharu ini, kita perlu sediakan dana tambahan untuk penyelenggaraannya, itu semua perlu kita ambil kira, sebab itu di Negeri Sembilan, kita selesaikan sistem saliran dahulu karana apa yang lebih penting jika hujan (perlawanan bola sepak) masih boleh dimainkan,” jelas beliau.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya