KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini memohon perintah Mahkamah Sesyen di sini agar Hospital Assunta mengemukakan laporan perubatan penuh Tun Daim Zainuddin bagi menjelaskan tahap kesihatan bekas Menteri Kewangan itu selepas dimasukkan ke hospital semalam.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How berkata, surat bertarikh semalam (16 Oktober) yang dilampirkan oleh pihak pembelaan, tidak menyertakan alasan mengapa Daim, 86, dimasukkan ke hospital atau butiran penyakit yang dialaminya.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan turut memohon perintah mahkamah agar doktor yang merawatnya serta jururawat yang menandatangani surat berkenaan hadir menjelaskan keadaan kesihatan bekas Menteri Kewangan itu ekoran ketidakhadirannya pada prosiding hari ini.
“Kami mempunyai alasan yang cukup kuat untuk mengemukakan permohonan tersebut kerana surat yang dikeluarkan tidak menyertakan alasan mengapa Daim dimasukkan ke hospital,” ujar Chin How.
Bagaimanapun, Hakim Azura Alwi tidak mengeluarkan sebarang perintah terhadap permohonan itu setelah berpendapat isu ketidakhadiran Daim tidak perlu diperbesar-besarkan kerana mahkamah sudah mengecualikan kehadirannya pada prosiding hari ini. Isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hadir selaku penjamin beliau.
Azura sepatutnya menyampaikan keputusan permohonan pendakwaan agar Daim menjalani pemeriksaan mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menentukan sama ada beliau layak dibicarakan terhadap pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta yang dimilikinya.
Pihak pendakwaan mahukan tahap mentalnya dinilai terlebih dahulu sebelum perbicaraan bermula selain memastikan sama ada beliau telah memberikan arahan yang sempurna kepada pasukan peguam yang mewakilinya.
Bagaimanapun, Azura menetapkan 20 November ini bagi hujahan lanjut selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan.
Pada prosiding itu, Chin How turut menyatakan, pihak pembelaan menyatakan mereka menerima arahan Daim untuk meminda notis permohonan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.
“Namun pihak kami harus tahu, apa pindaan yang dihasratkan itu. Tanpa laporan perubatan dan alasan surat kemasukan ke hospital, kini wujud pula pindaan pada notis permohonan. Jadi kami ragu-ragu betul atau tidak ini arahan Tun Daim? Oleh kerana arahan diberikan, adakah beliau betul-betul layak dibicara?
“Melainkan beliau tidak layak dibicarakan, maka keseluruhan prosiding selepas ini akan disifatkan terbatal dan tidak sah. Jadi, dalam keadaan sekarang, kita tak tahu apa jadi pada beliau,” ujarnya.
Dalam pada itu, TPR Mohamad Fadhly Mohd. Zamry turut berhujah, ketidakhadiran Daim merupakan isu yang serius kerana berdasarkan rekod mahkamah, beliau hanya hadir sekali ketika dituduh pada Januari lalu.
Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Hujahnya, pihak pembelaan kemudian mengemukakan beberapa permohonan untuk mengecualikan kehadirannya melalui sijil cuti sakit dari pihak hospital.
“Perkara ini harus diberi penekanan kerana ketidakhadiran beliau akan beri kesan pada prosiding. Dalam surat itu, tidak disebut dia tidak layak hadir ke mahkamah manakala surat itu tidak ditandatangani oleh doktor yang merawatnya,” ujar beliau.
Sementara itu, peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar berkata, wujud salah faham kerana pihak pembelaan memohon penangguhan bukan atas alasan Daim dimasukkan ke hospital.
Sebaliknya, pembelaan memohon penangguhan bagi membolehkannya meminda notis permohonan merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.
“Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan rujuk isu Perlembagaan ke Mahkamah Tinggi. Oleh kerana saya baru dilantik, kami juga untuk mengembangkan persoalannya, jadi mohon tarikh baharu,” ujar Gurdial.