MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka membekukan cuti anggota dan pegawainya susulan situasi banjir yang melanda negeri ini, selain bersiap siaga menghadapi peralihan Monsun Timur Laut.
Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Pisar Aziz berkata, pembekuan cuti itu membabitkan kira-kira 508 anggota termasuk para pegawai.
“Kita di Melaka memang tidak ramai orang (anggota). Jadi, seperti amalan biasa sebelum ini kita sudah mula tidak membenarkan pegawai dan anggota untuk bercuti.
“Kita ada lebih kurang 400 anggota dan kalau termasuk semua sekali ada kira-kira 508 orang. Bagaimanapun, setakat ini JBPM Melaka tidak menghadapi masalah daripada segi cuti pegawai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pasukan Bomba Junior Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Pisar berkata, bomba sentiasa memantau paras air di kawasan berisiko banjir.
“Buat masa ini antara kawasan yang berisiko adalah di Lubok China, Sungai Siput dan Sungai Putat. Selain itu, di negeri ini sahaja terdapat lebih 200 cerun tetapi setakat ini tiada yang berisiko,” ujarnya. – UTUSAN