Individu bergelar datuk cuba lindungi penyeludupan diesel ditahan

Individu bergelar Datuk cuba lindungi penyeludupan diesel ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa bagi menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

Penahanan kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 60-an itu dilakukan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah ini sekitar pukul 11.20 pagi tadi hingga 12.30 tengah hari tadi.

Tindakan itu dilakukan SPRM selepas mereka dipercayai memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang.

Kata sumber, pembayaran rasuah itu agar tiada tindakan diambil terhadap syarikat tempat mereka bekerja yang dipercayai telah menyeleweng diesel bersubsidi.

“Kedua-dua suspek lelaki dan wanita ini masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

“Namun, mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar serta bagi melindungi kegiatan itu, mereka dipercayai memberi wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN