TANJUNG MALIM: Hasrat Muhammad Fazlee Nor Shaidun, 20, melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi kenyataan walaupun sebelum ini mengalami masalah kewangan.
Anak yatim piatu berasal dari Jeli, Kelantan yang ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu bersyukur kerana masalah kewangan yang dihadapinya mendapat perhatian pihak UPSI.
Muhammad Fazlee, lepasan Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli hampir putus asa kerana tidak mampu membuat persiapan dan membayar pendaftaran ke universiti.
Dia yang kematian ibu dan bapa sejak kecil, dipelihara oleh datuk dan neneknya sehingga sekarang.
Muhammad Fazlee bekerja sambilan sebagai penghantar barang untuk mengumpul wang memasuki universiti namun tidak cukup hingga menimbulkan kerisauan tidak dapat mendaftar kerana pendapatannya hanya cukup untuk membeli makanan seharian sahaja.
“Saya gembira, seperti tidak percaya dapat menyambung pengajian di UPSI meskipun sebelum ini hampir hilang harapan untuk belajar di sini,” katanya di sini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (Wezas) UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Abdul Nasir berkata, bersimpati dengan masalah yang alami Muhammad Fazlee mendorong UPSI memberikannya bantuan menerusi Skim Bantuan Pendaftaran Pengajian bagi semester satu.
Muhammad Fazlee antara 93 pelajar yang menerima bantuan skim bantuan pendaftaran pelajar baru UPSI bagi kemasukan semester satu sesi 2024/25 dan daripada 4,195 calon yang berjaya dalam permohonan.
“Pelajar yang menerima skim ini dibahagikan kepada dua bentuk bantuan iaitu kategori kritikal seramai 36 pelajar menerima bantuan RM3,000 manakala kategori separa kritikal seramai 57 pelajar diberikan bantuan RM1,500. Ini menjadikan sebanyak RM193,500.00 diperuntukkan untuk skim bantuan ini.
“UPSI sentiasa prihatin dengan keadaan latar belakang calon yang berjaya memasuki universiti ini tetapi mengalami masalah kewangan berikutan ketidakmampuan keluarga.
“Wezas dengan kerjasama Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) membuat saringan data pendaftaran pelajar baharu bagi mengenalpasti pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya.- UTUSAN