NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan arahan penempatan sementara bagi membolehkan Izzuddin Izhar atau Cikgu Din untuk berada bersama-sama isterinya yang kini bertarung kanser tahap empat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hasil pertemuan antara kedua belah pihak sebelum ini, Cikgu Din akan ditempatkan di sekolah berhampiran supaya dia dapat terus melaksanakan tugasan sebagai guru selain pada masa sama boleh bersama dengan isterinya.
“Pertamanya, kita rakamkan ucapan simpati kepada apa yang berlaku terhadap Cikgu Din dan urusan kebajikan dia kita uruskan dengan sebaik-baiknya.
“Insya Allah, kita akan bagi ruang untuk dia bersama dengan isterinya melalui arahan penempatan sementara dan ini (arahan) bertujuan memastikan dia dapat bersama dengan isterinya dalam tempoh yang amat memerlukan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan permohonan Cikgu Din untuk mengajar di sekolah berdekatan dengan isterinya.
Terdahulu, Fadhlina hadir merasmikan Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini, semalam.
Baru-baru ini, media melaporkan kisah seorang guru di Sarawak iaitu Cikgu Din yang terus mendapat perhatian ramai apabila dia diuji dengan masalah kesihatan isterinya yang disahkan menghidap kanser tahap empat.
Pada awalnya, rakan kepada guru terbabit iaitu Harimah Abd. Rahman tampil mendedahkan liku hidup yang diharungi oleh sahabatnya itu apabila dia terpaksa berjauhan lebih 4,600 kilometer (km) dengan isteri tersayang, Nur Atiqah My Yusoff yang bergelut dengan masalah kesihatan kronik di Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menepis dakwaan kononnya KPM terpaksa membuat keputusan hanya selepas isu berkenaan tular di media sosial.
Sementara itu, Fadhlina meminta mana-mana pelajar sekolah yang menjadi mangsa gangguan seksual tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Beliau memberi jaminan aduan tersebut akan ditangani penuh integriti oleh kementeriannya.
Katanya, usaha memperkukuhkan advokasi garis panduan gangguan seksual akan diperhebat bagi menggalakkan mangsa terutama pelajar sekolah lebih berani tampil untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Sehubungan itu, kita minta semua pihak termasuk guru dan pentadbir sekolah untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap garis panduan tersebut bagi melindungi pelajar,” katanya.