BEIJING: Saintis di China memperkenalkan sejenis batu bata inovatif yang dijangka dapat merealisasikan pembinaan pangkalan dan rumah boleh dihuni di permukaan Bulan.
Awal tahun ini, China menjadi negara pertama yang mendaratkan kapal angkasa tanpa pemandu (probe) di bahagian gelap Bulan dan membawa balik sampel tanah berharga.
Menghantar manusia ke Bulan dijangka menjadi langkah seterusnya oleh China.
Kuasa besar Asia ini sudah merancang untuk membina pangkalan dan bangunan lain di satelit semula jadi Bumi, maka untuk mencapai tujuan itu, ia membangunkan jenis bata yang tahan tekanan fizikal serta radiasi tinggi daripada matahari.
Rekaan yang dipanggil ‘bata tanah bulan’ ini akan dihantar akan dihantar ke Bulan untuk diuji sehingga akhir tahun depan.
Bata tanah bulan dibangunkan oleh pasukan pakar di Pusat Inovasi Teknologi Pembinaan Digital Nasional, Universiti Sains dan Teknologi Huazhong.
Ia memiliki struktur tanggam dan duri bagi memudahkan pemasangan serta direka untuk menyerupai komposisi tanah Bulan.
Bagaimanapun, pakar menegaskan bata tanah bulan perlu memiliki ciri-ciri tertentu yang penting.
Sebagai contoh, kekuatan mampatan bata tanah bulan adalah lebih tiga kali ganda daripada bata merah biasa dan bata konkrit, yang dapat menahan berat lebih daripada satu tan setiap sentimeter persegi.
Bata tanah bulan pertama di dunia akan dihantar ke stesen angkasa China dengan kapal angkasa kargo Tianzhou-8.
Ia akan menjalani ujian intensif sehingga akhir tahun depan, di mana saintis China boleh menentukan sama ada bata baharu ini sesuai untuk pembangunan di Bulan.– AGENSI