Cemerlang pushbike, Dayyan Adam Zafri beralih ke perlumbaan mini pocketbike - Utusan Malaysia

Cemerlang pushbike, Dayyan Adam Zafri beralih ke perlumbaan mini pocketbike

DAYYAN Adam Zafri (tengah) muncul juara keseluruhan dalam M8 Malaysia Pushbike GP 2024 siri pertama hingga lima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Setelah lebih tiga tahun berkecimpung dan mencipta pelbagai kejayaan dalam sukan berbasikal pushbike, penunggang cilek, Dayyan Adam Zafri Muhammad Farid Ariffin, 6, bakal beralih arah ke perlumbaan mini pocketbike.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Dinie Amirah Zuhairi berkata, anak sulung daripada dua beradik itu akan menyertai mini pocketbike di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadualkan pada tahun depan.

“Ini kali kedua Dayyan Adam Zafri akan menyertai kejohanan pocketbike selepas kali pertama terpilih pada Ogos lalu. Ia merupakan percubaan pra peralihan daripada pushbike kepada pocket bike.

“Tentunya ia peluang terbaik buat Dayyan Adam Zafri untuk mengembangkan bakatnya selepas cemerlang dalam kejohanan pushbike disertainya,” katanya di sini.

DAYYAN Adam Zafri bakal beralih arah ke perlumbaan mini pocketbike pada 2025.

Berkongsi tentang kisah permulaan penunggang cilik tersebut, Dinie Amirah berkata, anak sulungnya itu bermula dengan membawa nama DAZ Bikers pada 2022.

“Selepas itu, nama Dayyan Adam Zafri semakin dikenali serta turut dipanggil untuk bersama dengan pasukan pushbike terbesar di Malaysia, M8 Malaysia di bawah kendalian Datuk Seri Wan Mohd. Muzri Ramli.

“Sepanjang menyertai kejohanan pushbike, pelbagai kejayaan diperoleh antaranya juara keseluruhan dalam M8 Malaysia Pushbike GP 2024 siri pertama hingga lima yang turut disertai pelumba dari negara Jepun, China, Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Beliau mendapat latihan yang profesional daripada jurulatih-jurulatih hebat di M8 Training Centre dan turut mendapat dorongan dan sokongan yang baik dari keluarga serta rakan-rakan,” katanya.

Jelasnya, sepanjang menyertai pertandingan pushbike, anaknya itu sentiasa bersemangat dan berusaha keras bagi memperoleh keputusan cemerlang di setiap kejohanan disertai dalam dan luar negara.

Sementara itu, Dayyan Adam Zafri berkata, cita-citanya untuk menjadi pelumba negara dalam moto GP di peringkat antarabangsa.

“Seperti mana pushbike, saya juga akan lakukan yang terbaik dalam pocketbike demi mencapai cita-cita saya sebagai seorang pelumba moto GP negara,” katanya yang menerima latihan awal bersama DAZ Bikers Puchbike sebelum menyertai M8 Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN