KOTA BHARU: Bunyi dentuman dan gegaran yang dirasai di Ipoh, Perak, Isnin lalu masih kekal misteri apabila punca sebenar kejadian itu belum dapat dikenal pasti.
Timbalan Ketua Polis Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia masih kekal misteri apabila pihaknya belum dapat mengesahkan punca sebenar kejadian itu.
“Kenyataan rasmi sudah dikeluarkan, namun perkara itu masih kekal misteri,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kelantan antara Pemangkunya Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby dengan ketua baharu iaitu Datuk Mohd. Yusoff Mamat.
Pada Isnin lalu, media melaporkan penduduk Ipoh cemas akibat merasai gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan sekitar pukul 11.06 pagi.
Didakwa terbabit dirasai di beberapa lokasi sehingga ada yang mengakui gegaran itu dirasai atau didengari sehingga di luar Ipoh.
Gegaran yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.
Polis Perak telah mengesahkan gegaran dan bunyi dentuman kuat itu bukan berpunca daripada latihan letupan pasukan keselamatan atau aktiviti kuari.
Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya ini dan daerah berdekatan termasuk Taiping, namun punca kejadian itu masih kekal misteri sehingga kini.
Ini berikutan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak menafikan berlakunya sebarang aktiviti kuari dijalankan ketika dentuman kedengaran.
Jabatan Meteorologi Malaysia ketika itu turut menafikan gegaran dan dentuman kuat yang berlaku berpunca daripada gempa bumi selain Akademi Tentera Udara (ATU) memaklumkan kejadian tersebut bukan berpunca daripada aktiviti latihan pasukan berkenaan.