Bumbung rumah rosak diserang monyet

Bumbung rumah rosak diserang monyet

NORIDAH Mat Diah menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak ketika ditemui di Kampung Pantai Puteri, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keadaan kediaman yang uzur milik seorang balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Noridah Mat Diah, 63, terutama pada bahagian bumbung menyebabkan warga emas itu dirudum kegusaran setiap kali hujan lebat dan angin kencang.

Noridah berkata, situasi itu bertambah buruk apabila rumahnya yang terletak di Kampung Pantai Puteri di sini, turut berdepan serangan monyet yang mengakibatkan atap asbestos kerap berlubang dan pecah.

Ujarnya yang menghidap penyakit buah pinggang kritikal, permohonan baik pulih rumah pernah diajukan kepada pelbagai agensi sejak 2020 termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM terutama selepas suaminya, Abd. Ghani Hussin yang berpencen dengan pangkat koperal meninggal dunia.

“Setiap kali hujan lebat, saya terpaksa tadah baldi dan besen kerana terlalu banyak atap berlubang. Takut hendak keluar tinggalkan rumah, kalau hujan lebat memang akan banjir terutama bahagian dapur.

“Bukan tidak cuba baiki sendiri, tetapi tidak mampu hendak tukar bumbung secara menyeluruh kerana saya bukanlah orang senang, hanya seorang pesara pembantu tadbir.

“Pencen pun tidak seberapa tambahan pula saya perlu jalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Serangan monyet yang kerap terjun dari pokok berhampiran ke bumbung menyebabkan lebih banyak atap rosak,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin.

RAIS YASIN

Dalam pada itu, Rais berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan pembinaan rumah baharu bernilai RM70,000 kepada Noridah di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Ujarnya, kerja-kerja pembinaan rumah tiga bilik dengan keluasan 800 kaki persegi dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan selepas dibawa kepada proses kelulusan seawal November ini.

Berhubung kacau ganggu monyet, Rais mengakui isu yang membelenggu penduduk kampung, seterusnya mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah yang didapati mengabaikan tanah mereka sehingga mengundang kehadiran haiwan berkenaan.

“Jadi ini saya akan minta daripada pejabat tanah untuk memberi notis kepada tuan tanah. Juga kita akan minta kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Ini memerlukan kerjasama daripada semua agensi yang terlibat supaya kita boleh menghentikan perkara-perkara seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya