KUALA TERENGGANU: Sebahagian bumbung Plaza Tol Telemong, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat sini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut, malam tadi.
Pengurus Wilayah LPT2 Sdn. Bhd., Mohamad Pazli Kasim berkata, insiden yang berlaku pada pukul 8.20 malam itu tidak melibatkan kecederaan atau kerosakan terhadap kenderaan pengguna atau kakitangan yang bertugas.
“Ketika ini, dua lorong keluar di plaza tol sudah dibuka dan kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 9.20 malam.
“Namun, dua lorong lagi terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pembersihan dan pembaikan segera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, jurutera LPT2 masih menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap struktur bangunan di plaza tol tersebut.
“Orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini mengenai operasi Plaza Tol Telemong di media sosial rasmi LPT2 atau di talian 1800880220,” katanya.