Budak 12 tahun dicabul, nyaris dijual kepada sindiket pelacuran - Utusan Malaysia

Budak 12 tahun dicabul, nyaris dijual kepada sindiket pelacuran

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kanan) bercakap pada sidang akhbar pelupusan barang kes dadah kontinjen Selangor tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Shah Alam di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang dipercayai turut dicabul kehormatan dan cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa menaiki sebuah kereta oleh empat suspek termasuk seorang wanita yang dikenalinya, 8 Oktober lalu.

Jelas beliau, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke sebuah pangsapuri di Setia Alam di sini, dan ‘ditahan’ selama empat hari.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa dipercayai dicabul secara seksual oleh dua suspek di rumah sewa berkenaan.

“Selain itu, suspek mahu menjual mangsa kepada sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur. Namun, sindiket itu enggan membeli selepas melihat hebahan polis mengenai kehilangan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.

Menurut Hussein, kegagalan itu menyebabkan suspek menyuruh mangsa pulang ke rumahnya dengan menaiki kenderaan e-hailing pada 12 Oktober lalu.

“Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu juga turut dikhayalkan suspek menerusi rokok elektronik (vape).

“Mangsa juga dipercayai turut didera namun tidak ketara dan turut diberikan makanan sepanjang tempoh penculikan itu,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya masih mereman enam suspek berusia 13 hingga 23 tahun yang ditahan di sekitar Shah Alam, Klang dan Segambut, Kuala Lumpur.

“Seorang daripada suspek merupakan remaja lelaki yang dipercayai turut mencabul mangsa dan kita akan menyambung tempoh reman mereka yang berakhir esok.

“Polis sedang memburu dua lagi individu berkaitan sindiket pelacuran bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.
Tambah Hussien, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik orang daripada penjagaan sah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kehilangan kanak-kanak dipercayai diculik di kawasan rumah kedai itu terungkai apabila dia ditemukan selamat pada Sabtu lalu.

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis sekitar lokasi kejadian mendapati mangsa berjalan kaki sebelum menaiki sebuah kereta kereta Perodua Myvi berwarna hitam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya