BN senarai awal calon PRU16, dilatih di 'sekolah politik' - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

BN senarai awal calon PRU16, dilatih di ‘sekolah politik’ – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tengah), menyantuni dan bergambar bersama UMNO Siswa yang turut hadir pada Konvensyen Barisan Nasional Negeri Pahang 2024 di Dewan Tun Abdul Razak di Temerloh, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Barisan Nasional (BN) akan menyenaraikan calon Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang lebih awal sebagai persediaan mencari pemimpin yang tepat dalam mendapat sokongan rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon-calon terbabit akan dikenalpasti oleh pengerusi badan perhubungan UMNO negeri, diberikan latihan dan dipantau sebelum diangkat sebagai calon pada PRU16.

“Kita sudah menubuhkan ‘sekolah politik’ di bawah biro latihan dan perkaderan UMNO Malaysia dan kita akan melatih bakal calon-calon yang kita telah kenalpasti yang mana di situ mereka akan dilatih dengan beberapa teori dan amali kepemimpinan.

“Kita akan menilai prestasi mereka sewaktu mereka menghadiri ‘sekolah politik’ berkenaan dan kita akan bawa senarai mereka itu ke bawah untuk kita lihat siapakah yang boleh memenangi sesuatu kerusi itu dan penerimaan pengundi serta juga bagaimana seseorang itu disukai pengundi,” katanya pada Konvensyen BN Pahang sempena sambutan Ulangtahun Jubli Emas ke-50 BN di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, penubuhan ‘sekolah politik’ diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dua bulan lalu dan penyusunan program sudah dilakukan dan akan diperincikan dalam masa terdekat.

Beliau berharap pendekatan baharu itu akan lakukan di seluruh negara dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai bersama-sama kepimpinan sekolah politik yang akan mengadakan kursus atau latihan itu di Institut Latihan dan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong.

Beliau berkata, pemilihan calon yang dibuat pihaknya tidak akan mengenepikan golongan muda sebagai pemimpin pelapis yang menjadi kesinambungan kepimpinan negara.

Bagaimanapun katanya, kombinasi antara pemimpin lama, baharu, pemuda dan wanita seperti yang ada di Pahang dilihat contoh terbaik dalam memastikan kestabilan politik dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sementara itu, beliau menaruh keyakinan BN akan bangkit semula dan Pahang terus menjadi kubu kuat parti berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tegasnya, hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Pahang dalam pilihan raya umum akan datang tidak akan berhasil kerana BN sudah mengatur langkah awal dalam mendapat sokongan rakyat.

“Pilihan raya umum akan datang jangan pernah ambil mudah, kena kerja kuat dekati rakyat, buta warna bagi bantuan dan maafkan mereka yang memberi kesilapan undi parti lain pilihan raya umum lalu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN