BN Pahang ikrar kekal rekod negeri belum jatuh ke tangan pembangkang sejak 1955 - Utusan Malaysia

BN Pahang ikrar kekal rekod negeri belum jatuh ke tangan pembangkang sejak 1955

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (duduk, tengah) dan Wan Rosdy Wan Ismail (duduk, empat dari kiri) pada Konvensyen BN Pahang 2024 di Dewan Tun Abdul Razak di Temerloh, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Barisan Nasional (BN) Pahang berikrar mempertahankan rekod menjadi satu-satunya negeri belum pernah ditawan pembangkang sejak mentadbir negeri ini bermula Pilihan Raya Umum (PRU) pertama pada 1955.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Parti Perikatan gabungan UMNO, MCA dan juga MIC terus menjadi bahtera yang melayari pemerintahan dan mentadbir negeri ini dengan cemerlang.

“Kita juga harus sedar bahawa kedudukan di Pahang sentiasa diintai oleh lawan kita untuk merampas kuasa walaupun rekod terbaik perkhidmatan kepada rakyat.

“Mereka ketika ini begitu agresif berkempen ke serata ceruk negeri dengan membawa slogan ‘Pas Teraju Pahang’ selain menyebarkan fitnah dan persepsi jahat memburukkan kita di mata rakyat.

“Perkara ini kita tidak boleh biarkan dan alpa kerana Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hanya berbaki tidak sampai tiga tahun daripada sekarang,” katanya ketika berucap  pada Konvensyen BN Pahang 2024 di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Tegas Wan Rosdy, parti itu juga perlu melakukan gerak kerja yang lebih tersusun dan juga agresif bagi mematahkan hasrat pembangkang yang bercita-cita besar menawan Pahang.

“Jadi amat penting bagi kita sama-sama mendokong kerajaan ini yang sederap bersama UMNO, MCA, MIC serta rakan-rakan daripada Friends of BN sebagai agenda Pertahankan Pahang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Perpaduan di Pahang tetap dengan semangat setiakawan kerana sebagai contoh memberi tempat rakan MCA sebagai wakil rakyat lantikan,  perwakilan dalam kerajaan tempatan dan pentadbiran di kampung-kampung.

Dalam pada itu katanya, konvensyen ini pertama kalinya kerajaan negeri di Pahang tidak lagi dikenali sebagai kerajaan BN Pahang, tetapi kerajaan Perpaduan Pahang.

“Namun, masyarakat masih melihat kerajaan ini sebagai kerajaan BN, kerana diterajui oleh Menteri Besar UMNO dan majoriti rakan-rakan dalam kepimpinan BN di Pahang. Untuk itu, kita ketepikan sentimen, kerana sebarang pencapaian daripada segi pentadbiran, ekonomi dan sosial, baik buruk imej kerajaan dan kepimpinannya akan dikaitkan dengan BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN