SEREMBAN: Berstatus orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang graduan dari Kolej Komuniti Jelebu iaitu Azmirul Aiman Abdul Azim, 21, menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Kejayaannya itu membolehkan graduan Sijil Asas Pemprosesan Makanan itu menerima Anugerah Usahawan Kolej Komuniti pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan 2024 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini, hari ini.
Lebih membanggakan, anugerah berkenaan adalah julung kali diberikan kepada graduan kategori OKU.
Ia adalah sebagai pengiktirafan daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) kepada golongan berkenaan yang turut diberi peluang meningkatkan kemahiran melalui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ibu kepada Azmirul Aiman, Azila Ab Aziz, 42, memberitahu, anaknya itu merupakan OKU masalah pembelajaran yang telah mengasaskan Syarikat AA Amirul Enterprise yang menjual pelbagai menu sarapan di Pekan Titi, Jelebu.
Katanya, minat yang mendalam dalam bidang pemprosesan makanan antara faktor yang mendorong anaknya itu memilih bidang tersebut di Kolej Komuniti Jelebu dan seterusnya membuka perniagaan sendiri setelah tamat pengajian.
“Dia nekad untuk berniaga kerana ingin membantu meringankan beban keluarga. Dia juga ingin mempraktikkan ilmu kemahiran dan keusahawanan yang dipelajari semasa di kolej komuniti.
“Alhamdulillah, setelah tamat belajar anak saya semakin berani dan yakin. Banyak perubahan yang saya lihat dalam dirinya berbanding di sekolah dahulu.
“Azmirul sudah pandai berkomunikasi dan melayan pelanggan yang datang membeli di warungnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Perasmian majlis konvokesyen itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhamad Rumzi Mamat.
Seramai 470 orang graduan dari Kolej Komuniti Kuala Pilah, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Jelebu, Kolej Komuniti Tampin dan Kolej Komuniti Rembau diraikan dalam majlis konvokesyen berkenaan.-UTUSAN.