Beri waktu solat Jumaat mencukupi atau berdepan tindakan - Exco - Utusan Malaysia

Beri waktu solat Jumaat mencukupi atau berdepan tindakan – Exco

LING TIAN SOON melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan oleh Lee Ting Han dan Hasni Mohamad pada Majlis Perasmian Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majikan di negeri ini diminta mematuhi titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dengan menyediakan waktu solat Jumaat mencukupi bagi pekerja beragama Islam apabila cuti hujung minggu ditukar semula pada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, jika ingkar, tindakan boleh diambil terhadap majikan terbabit.

“Seperti yang telah dititah, kami akan adakan sesi libat urus  dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pemain industri dan pihak majikan dalam waktu terdekat agar titah ini dapat dilaksanakan dengan efektif.

“Semua pekerja Muslim perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam, khususnya waktu solat Jumaat. Oleh itu, pihak industri dan majikan yang tidak beri ruang secukupnya, dijangka akan ada tindakan,” katanya ditemui pada program ‘Green Legacy Johor Summit 2024’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon serta dihadiri Pengerusi Sustainable Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Ting Han berkata, pertukaran cuti hujung minggu Johor itu disambut baik bukan sahaja oleh golongan pekerja dan ibu bapa, malah juga sektor swasta dan perbankan di negeri ini.

“Pertukaran ini akan meningkatkan produktiviti Johor secara keseluruhan apabila waktu bekerja selari bagi pentadbiran kerajaan dan sektor ekonomi serta perbankan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

“Sektor runcit juga akan terima impak positif apabila ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak pada hari cuti Sabtu dan Ahad,” katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya cuti hujung minggu di negeri ini ditukar semula ke hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 dan perkara itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada 2014, Sultan Ibrahim menitahkan cuti hujung minggu Johor ditukar ke hari Jumaat dan Sabtu.

Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya