Berhenti ‘makan gaji’ jual kuih bulan

Berhenti ‘makan gaji’ jual kuih bulan

SYAWALIZA Abdul Kutty tekun menyiapkan kuih bulan yang ditempah pelanggan ketika ditemui Utusan Malaysia di Seremban.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Didorong mahukan masa lebih fleksibel selain gemar memasak, seorang pensyarah sebuah kolej swasta sanggup meninggalkan kerjayanya dan menceburi perniagaan menjual kuih bulan.

Syawaliza Abdul Kutty, 42, memberitahu, dia kini membangunkan perniagaan kuih bulan halal bersaiz mini di bawah jenama Ammarnee Mooncake menerusi syarikatnya Ammar­nee Enterprise.

Menurutnya, dia mula terlibat secara serius dalam perniagaan ini sejak 2020 dan hanya mempelajari penghasilan kuih bulan ini daripada internet.

“Berkali-kali juga saya mencuba dan Alhamdulillah dalam tempoh sebulan saya dapat kemahiran membuat kuih bulan ini dan dalam masa sehari dapat menghasilkan sebanyak 300 biji kuih.

“Hasil belajar sendiri ini saya mampu menambat hati dan cita rasa pelanggan termasuk orang Melayu kerana ia dibuat dengan bahan yang halal.

“Apa yang penting niat asal saya mahu orang Melayu dapat merasa kuih tradisional masyarakat Cina ini tanpa was-was terlaksana dan mereka boleh memperolehnya pada harga mampu milik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wakafmart Masjid Saidatina Khadijah, Taman Seremban Jaya di sini.

Menurut bekas pensyarah bidang elektronik, kuih bulan yang dihasilkan sama cara pembuatannya dengan pengusaha lain namun bezanya dia gantikan dengan minyak kacang untuk memastikan ia halal dimakan.

“Permintaan kuih bulan ini tidaklah ‘rancak’ sepanjang tahun, tetapi mula menjadi perhatian setiap kali perayaan kuih bulan, pada akhir Julai sehingga September, selain ketika perayaan Tahun Baharu Cina.

“Bagaimanapun, saya tetap konsisten menerima permin­taan di luar musim di mana ada pelanggan menjadikan ia sebagai cenderhati bagi keraian atau perkahwinan. Selain itu saya turut menghantar produk kuih bulan ini di kedai-kedai.

“Saya menghasilkan kuih bulan dengan pelbagai inti antaranya pandan, kacang merah dan pelbagai lagi, namun paling banyak tempahan pada bulan September adalah kacang merah dan kacang hijau,” katanya.

Menurut Syawaliza, pernia­gaan yang asalnya bermula dari rumah itu turut mendapat sokongan daripada suami, Noor Azahar Ismail,43 yang turut membantu dari segi pemasaran.

Ketika ini, menurutnya, dia dalam peringkat akhir penilaian laporan audit bagi mendapatkan pensijilan halal menerusi Program Kotej Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang disertai dan turut mendapat bantuan geran.

“Selain itu, saya juga mendapat bimbingan dan nasihat daripada Jabatan Pertanian bagi menaik taraf label produk kuih bulan halal ini di mana pihak jabatan turut melihat produk kuih bulan ini mampu pergi jauh dengan mempelbagaikan lagi daripada segi inti,” katanya yang juga menghasilkan pelbagai jenis biskut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya