Berbasikal 10,000km dari Temerloh ke Mekah - Utusan Malaysia

Berbasikal 10,000km dari Temerloh ke Mekah

AHMAD Zulkifle Ahmar memulakan kembara berbasikal sejauh 10,000km menggunakan laluan darat ke tanah suci Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Setelah hampir enam bulan membuat persediaan rapi, seorang bekas pemandu lori memulakan kayuhan basikal sejauh 10,000 kilometer (km) menggunakan laluan darat ke tanah suci Mekah bermula hari ini.

Ahmad Zulkifle Ahmad, 56, dari Taman Temerloh Jaya di sini berkata, menerusi Kembara Anak Temerloh, dia mengambil tempoh kira-kira enam bulan bagi merentas tujuh negara iaitu Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi selain Malaysia sendiri.

Menurutnya, misi berkenaan sudah lama dirancang sejak tahun lalu dan kembara ke tanah suci Mekah itu menjadi impiannya selama ini.

“Sejak awal saya sudah memasang niat ingin mengembara dan mula membuat persediaan rapi untuk stamina dan lain-lain sejak enam bulan lalu.

“Kembara ini akan turut disertai peserta lain diketuai Dahlan Yahya yang turut mengiringi perjalanan dari sini sebelum dua orang lagi yang akan turut serta di Kuala Lumpur nanti,” katanya selepas pelepasan kembara di pekarangan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Taman Temerloh Jaya di sini hari ini.

Ahmad Zulkifle yang juga bapa kepada empat cahaya mata berkata, kos kembara berbasikal itu mencecah RM10,000 selain turut menerima sumbangan pihak masjid dan orang ramai.

Menurutnya, kembara ke luar negara ini bukan kali pertama disertainya sebaliknya dia pernah berbasikal ke Thailand dan Indonesia sebelum ini.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kembara ini mendapat sokongan kuat isteri, Faridah Musa, 58 dan keluarga,” ujarnya.

Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Taman Temerloh Jaya, Dr. Abdullah Ismail berkata, Ahmad Zulkifle merupakan jemaah yang banyak membantu pihak masjid dalam menjalankan pelbagai aktiviti antaranya memasak serta urusan kematian.

“Dia adalah aset utama masjid dan kita menyokong kembara ini yang sudah tentunya mengharumkan bukan nama masjid sahaja tapi Pahang dan Malaysia kerana ia satu misi yang jarang dilakukan. Kita berharap kembara ini berjalan lancar dan saudara Ahmad Zulkifle ini selamat tiba di kota suci Mekah pada tahun depan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN