KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan membentuk dasar baharu berkaitan bangunan lama serta usang di negeri ini.
Baginda bertitah, semua bangunan lama dan usang perlu dipantau agar kejadian kebakaran seperti berlaku di Jalan Besar di sini membabitkan sebuah kedai karpet baru-baru ini tidak berulang.
“Saya hendak mengingatkan pihak pentadbiran supaya tengok semula semua bangunan lama dan usang. Mungkin juga perlu buat dasar yang baru berkaitan dengan bangunan lama ni.
“Perlu juga beri nasihat profesional yang tak boleh diabaikan dan tidak bertindak sambil lewa sahaja. Perlu bertegas tentangnya.
“Kalau bangunan tak selamat, tulis situ tak selamat. Sebab ada risiko yang tinggi kepada orang yang datang, yang tinggal di situ dan orang yang bekerja di situ,” titah baginda ketika berkenan mencemar duli berkunjung ke lokasi kebakaran berkenaan di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan kurniaan kepada pemilik premis perniagaan terbabit, Datuk Hathar Ali Mohamed Ali.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri menasihatkan pemilik bangunan untuk sentiasa memastikan keselamatan premis masing-masing.
“Penyelenggaraan elektrik sangat penting. Tanggungjawab pemilik bangunan perniagaan itu sendiri untuk penyelenggaraan elektrik di bangunan masing-masing,” katanya. – UTUSAN