KANGAR: Kerajaan diharap dapat memberi penumpuan terhadap nasib golongan nelayan menjelang pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langkah tersebut merupakan pemangkin kepada transformasi sektor perikanan di samping memberi penumpuan kepada usaha meningkatkan kehidupan golongan nelayan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Perlis, Asri Jab berkata, golongan nelayan mengharapkan agar kerajaan dapat mengekalkan pemberian subsidi harga diesel RM1.65 seliter dalam belanjawan kali ini.
“Kami ada mendengar ura-ura harga diesel subsidi nelayan akan dikurangkan dan menjadi RM1.80 seliter, oleh itu diharap kerajaan dapat mengekalkan kadar sedia ada dalam belanjawan kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Asri berkata, kerajaan juga diharap dapat menambah elaun sara hidup nelayan dalam pembentangan belanjawan kali ini selaras dengan kenaikan harga barangan semasa.
“Kalau boleh golongan nelayan mengharapkan agar elaun kos sara hidup itu dapat ditambah dari RM300 ke RM400 memandangkan harga peralatan dan kos keperluan semakin meningkat.
“Sebagai contoh, jika dulu harga pukat hanyalah sekitar RM17 hingga RM18 namun kini harganya tidak terkawal sehingga RM25.
“Oleh itu, selain menambah elaun sara hidup ini, harga bagi peralatan seperti pukat, enjin dan lain-lain juga perlu dikawal oleh kerajaan bagi memastikan kosnya tidak membebankan,”katanya.
Sementara itu, seorang nelayan dikenali sebagai Ridwan, 49, berkata, kerajaan juga diharap dapat mempertimbangkan pemberian subsidi diesel buat nelayan kelas C2 khususnya di Perlis.
Katanya, nelayan kelas C2 di negeri ini perlu keluar ke laut sejauh kira-kira 60 batu nautika untuk membuat tangkapan sekali gus memerlukan penggunaan diesel yang banyak.
“Ini berbeza berbanding nelayan negeri lain yang hanya perlu keluar sekitar 5 ke 6 batu nautika sahaja bagi membuat tangkapan dan disebabkan itulah, kita mohon agar pemberian subsidi diesel buat nelayan kelas C2 ini dapat dipertimbangkan,” katanya.-UTUSAN