Belanjawan 2025: Negeri Sembilan harap penyediaan infrastruktur lebih baik - Utusan Malaysia

Belanjawan 2025: Negeri Sembilan harap penyediaan infrastruktur lebih baik

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penyediaan infrastruktur lebih baik menjadi harapan Negeri Sembilan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia penting bagi mempercepatkan rancangan pembangunan di negeri itu sama ada oleh kerajaan Pusat atau kerajaan negeri.

Katanya, kemajuan pembangunan di Negeri Sembilan bergerak dengan pantas dan ia mesti diselaraskan dengan infrastruktur lebih baik bagi menampung proses tersebut.

“Jadi kami harap infrastruktur lebih baik menjadi keutamaan dalam pembentangan belanjawan kali ini sesuai dengan kemajuan pembangunan yang sedang berlaku.

“Permohonan untuk kemudahan infrastruktur ini kita minta untuk semua daerah berdasarkan fokus yang dilakukan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini

Dalam perkembangan lain, Aminuddin memberitahu, semua jabatan dan agensi kerajaan telah diarahkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh yang diramal berlaku seawalnya pada hujung bulan ini.

Jelasnya, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim yang juga Pengerusi Bencana Negeri telah mengadakan mesyuarat dengan semua pihak berkaitan yang memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh pihak berkenaan.

“Kami juga telah minta Bilik Gerakan Bencana Negeri digerakkan mulai sekarang dengan semua pihak diminta segera berkongsi maklumat berkaitan banjir.

“Ini penting untuk membantu kerajaan bertindak dengan segera dan tepat apabila banjir melanda kelak,” katanya.-UTUSAN.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya