PETALING JAYA: Orang ramai mahu kerajaan memberi tumpuan berhubung isu gaji rendah dan kenaikan harga barangan dalam Belanjawan 2025, 18 Oktober ini.
Tinjauan mendapati, rata-rata orang ramai yang ditemui mahu kerajaan mencari mekanisme terbaik untuk kenaikan gaji dan menurunkan kos harga barangan bagi membantu rakyat.
Pemandu bas Rapid KL, Muhamad Farizal Rosli, 43, berkata, kenaikan gaji hingga RM3,000 yang ditawarkan kepada pekerja swasta dilihat masih tidak mencukupi kerana harga barangan keperluan semasa terus naik.
“Peningkatan gaji yang disarankan oleh pihak kerajaan memang bagus tetapi tidak ada perbezaan jika harga barangan masih mahal.
“Jika harga barang semakin mahal, saya perlu mengeluarkan wang yang lebih. Simpanan saya juga masih tidak cukup dengan gaji yang ditawarkan sekarang,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun harga barangan seperti minyak masak, petrol dan tepung lebih murah di Malaysia berbanding negara serantau, masih terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada menaikkan tahap pendapatan.
Seorang ibu tunggal, Elizabeth Joseph, 68, berkata, kadar gaji sektor swasta ketika ini dianggap masih tidak mencukupi mengambil kira kenaikan harga barangan keperluan.
“Gaji anak saya hanya RM1,700. Ia tidak cukup untuk menampung kos membayar sewa rumah, bil utiliti dan membeli barang dapur.
“Pihak majikan mestilah mempertimbangkan cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji pekerja dan saya berharap harga barangan juga dapat diturunkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Elizabeth yang juga ibu tunggal berkata, pihak kerajaan juga harus memberi perhatian kepada ibu-ibu tunggal yang tidak bekerja serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Jika ada bantuan diberikan, ia membantu saya mengurangkan beban anak bagi menanggung semua kos perbelanjaan,” katanya.
Sementara itu, pengurus kedai serbaneka, Zaliah, 35, berkata, kerajaan mestilah memberi keutamaan peningkatan gaji kepada warganegara, berbanding pekerja asing yang dilihat sudah menerima pelbagai manfaat bekerja di negara ini.
“Kerajaan haruslah mengutamakan faedah peningkatan gaji kepada rakyat Malaysia. Pekerja warga asing sudah mendapat gaji yang lumayan dan boleh dibawa pulang, sekali gus merancakkan lagi ekonomi di negara mereka,” katanya.
Peniaga pakaian, Nora Mohamad Nor, 49, pula berkata, segelintir pihak merasakan gaji tidak mencukupi serta harga barangan meningkat kerana sikap berbelanja mengikut kehendak serta selera.
“Justeru, setiap rakyat disaran mengamalkan corak perbelanjaan yang berhemah. Jika ada kenaikan gaji, bukan satu alasan untuk peniaga menaikkan harga jualan. Peniaga-peniaga juga dinasihatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka,” katanya. – UTUSAN