SHAH ALAM: Seorang bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United bergelar Datuk ditahan selepas didakwa ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab itu pada 2018.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan satu kes penipuan lain di Mahkamah Sesyen, di sini semalam.
Peguam mewakili bekas pemain dan pegawai dua pasukan bola sepak itu, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, penahanan itu dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Jelas beliau, mahkamah sama memutuskan bahawa individu itu perlu dipenjarakan selama seminggu bagi kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah berkenaan.
“Mahkamah bagaimanapun memberi penangguhan selama dua minggu kepada individu itu bagi memberi peluang terakhir melunaskan tunggakan gaji tersebut.
“Namun, dia bertindak mendiamkan diri dan hanya membayar RM600,000 setakat pertengahan 2023 dan semua tunggakan masih berbaki RM1.4 juta sehingga kini,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah itu.
Tambah Mohd. Suhail, lelaki itu akan dibawa ke Penjara Kajang dan pihaknya turut akan memulakan tindakan jenayah di bawah kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kelak.
Sementara itu, bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abdul Rahman, 39, berkata, beliau bersyukur kerana akhirnya mendapat pembelaan dengan tertangkap bekas pemilik kelab tersebut.
“Saya sebelum ini tertunggak gaji selama tiga bulan dan keadaan itu sememangnya menjejaskan kehidupan keluarga.
“Justeru, saya berharap ‘Datuk’ itu dapat melunaskan semua tunggakan dan prosedur lanjut akan diambil jika dia gagal berbuat demikian,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, bekas pemain Kuantan FA menuntut sejumlah RM3 juta manakala bekas pegawai pula sebanyak RM1.2 juta yang tertunggak sejak 2018 lalu.
Tuntutan sama turut dibuat bekas pemain dan pegawai Marcerra United dengan anggaran keseluruhan RM2 juta dengan menjadikan nilai keseluruhan lebih RM6 juta.
Jumlah itu perlu diselesaikan pengurusan kelab tersebut berdasarkan kontrak yang terlibat.
Sebagai rekod, pengurusan Marcerra bergabung dengan Kuantan FA untuk beraksi dalam Liga Premier pada 2018. Namun, pasukan itu ‘bungkus awal’ selepas kegagalan membayar gaji pemain selama empat bulan sebelum disingkirkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Malah, nasib Marcerra United dalam kancah Liga FAM pada 2018 tuurt berakhir di tengah jalan ekoran kemelut kewangan.