PONTIAN: Seorang bayi lelaki berusia dua minggu antara 175 mangsa banjir yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom dan SK Parit Markom di daerah ini.
Menurut, Siti Zulaiha Abdullah, bayinya, Muhammad Ayden Aiys bersama tujuh ahli keluarganya yang lain terpaksa berpindah apabila rumah mereka di Kampung Batu Hampar, Sanglang, dekat sini dinaiki air.
“Saya dan suami, Muhammad Hakimi Abdullah, 20, dan enam ahli keluarga lain berpindah pada malam tadi setelah diarahkan oleh penghulu dan ketua kampung kerana paras air semakin naik.
“Tiada banyak barangan dapat dibawa ke pusat pemindahan, hanya keperluan bayi seperti lampin, baju selain pakaian saya dan suami untuk semalam dua ini jika air tidak lagi surut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPS SK Seri Anom, di sini.
Muhammad Hakimi pula berkata, jika semalam paras air hanya setakat buku lali, tetapi pagi ini semakin naik sehingga paras lutut.
“Mungkin saya dan penduduk lain dari Kampung Batu Hampar akan bermalam sehari dua lagi memandangkan paras air semakin meningkat ditambah dengan air pasang,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Seorang lagi mangsa banjir, Parimin Ithnin, 41, sedih kerana keluarganya menghadapi banjir lagi selepas sebulan berlaku kejadian serupa melanda rumah mereka di Jalan Parit Keliling, Parit Lancang Ayer Baloi.
Katanya, jika bulan lalu banjir melanda berpunca daripada Sungai Sanglang yang tidak diselenggara, tetapi kejadian semalam ekoran limpahan air dari sungai tersebut susulan hujan lebat.
“Kami berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu, kami sudah tidak tahan berdepan dengan banjir setiap kali hujan lebat dalam tempoh lebih dua jam, rumah akan banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian, Kapten (A) Muhammad Izzuddin Ali berkata, PPS di SK Parit Markom yang dibuka pada pukul 11.30 malam tadi menempatkan seramai 41 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Parit Haji Yassin, Kampung Parit Ramunia Darat, Parit Bachok dan Kampung Parit Selangor.
“Memandangkan air semakin tinggi, jawatankuasa pengurusan banjir mengambil keputusan untuk memindahkan penduduk ke tempat yang selamat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN