Bayaran tidak mencecah jutaan ringgit, kata Marsha

Bayaran tidak mencecah jutaan ringgit, kata Marsha

MARSHA MILAN LONDOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Marsha Milan, 38, menafikan dia dibayar jutaan ringgit sebagai juri rancangan realiti terbaru, A Million Voice (AMV).

Pemilik nama sebenar Marsha Milan Londoh itu memaklumkan bayaran yang diterima bagi menjurikan program itu adalah munasabah dan tidak mencecah jutaan ringgit seperti didakwa.

“Tidak ada (bayaran lumayan). Bayaran tahap episod biasa sahaja. Siapalah saya mahu mengenakan kadar bayaran yang terlalu tinggi.

“Bayaran Marsha Milan masih munasabah, Alhamdulillah,” katanya.

Marsha berkata demikian pada sidang media program tersebut yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Selain penyanyi lagu Hening Rindu itu, turut menjadi juri program berkenaan adalah dua ikon muzik tempatan iaitu Datuk Hattan dan Datuk Awie.

Dalam pada itu, disoal mengenai kelayakannya selaku juri program tersebut, Marsha memaklumkan dia yakin pemilihannya adalah berdasarkan kredibiliti serta pengalamannya sebagai penggiat seni yang hampir mencecah dua dekad.

“Pada awalnya memang saya tertanya-tanya, kenapa saya dipilih? Tapi saya yakin penganjur ada sebab mereka.

“Mungkin juga disebabkan ilmu dan pengalaman yang saya timba sepanjang berkecimpung dalam bidang ini.

“Apa pun, ketiga-tiga juri berkongsi matlamat yang sama, iaitu mencari pelapis untuk mewarnakan lagi dunia muzik kita,” kongsinya.

Pada masa yang sama, Marsha juga meluahkan rasa syukur kerana pemilihannya selaku juri program nyanyian diterima baik peminat.

“Alhamdulillah, belum ada lagi netizen yang mempertikaikan pemilihan saya selaku juri program nyanyian. Syukur saya masih selamat di mata netizen,” selorohnya.

AMV, yang bakal memulakan sesi pemilihan peserta tidak lama lagi, akan dipertontonkan di TV3 dan saluran penstriman, Netflix.

Program tersebut, yang akan dihoskan pelakon dan pelawak terkenal, Joey Daud, menawarkan hadiah bernilai RM1 juta yang antaranya merangkumi sebuah kereta elektrik, kontrak rakaman album dan membuat persembahan dalam konsert roadshow selama tiga tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN