KUANTAN: Bapa kepada penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini yang maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan tidak menyangka anaknya itu ‘pulang’ awal ke kampung untuk bercuti sempena Deepavali dalam keadaan tidak bernyawa.
Jaeh Saliman, 55, berkata, anaknya, Muhammad Adib Suhail Jaeh, 20, sepatutnya merancang pulang ke rumah di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, Johor pada Rabu ini.
Bagaimanapun, anak kelima daripada enam beradik itu maut bersama seorang lagi rakannya yang menunggang motosikal untuk pulang.
Mengikut rancangan asal, dia akan menjemput Adib di Polisasa dan pulang bersama ke Pulai.
“Tapi, ia berlaku sebaliknya apabila arwah pulang bersama rakannya lebih awal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.
Jeah berkata, anaknya sebelum ini sering bercerita tentang kejadian kemalangan melibatkan rakan tempat pengajiannya setiap kali berbual.
Arwah anaknya juga katanya, sanggup menaiki bas untuk melawat salah seorang rakannya di Kota Tinggi, Johor yang terlibat dalam kemalangan sebelum ini.
“Lebih menyentuh hati, dia pernah menyatakan keinginannya untuk meninggal dalam keadaan yang tidak menyakitkan seperti terlibat dalam kemalangan.
“Arwah kata kalau boleh dia pun hendak mati dalam keadaan yang sama, saya tidak sangka kata-kata itu menjadi kenyataan,” katanya yang memaklumkan rapat dengan arwah anaknya.
Terdahulu, media melaporkan dua penuntut Polisas maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan, berhampiran Loji Rawatan Air Semambu, tengah malam kelmarin
Penunggang motosikal, Muhamad Nor Iman Mahadi yang beralamat di Kampung Tanjong Chat, Kota Bharu Kelantan dan pembonceng, Muhammad Adib dari Taman Pulai Indah, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.-UTUSAN