Banjir terburuk Kg. Tengah sejak 53 tahun lalu

Banjir terburuk Kampung Tengah sejak 53 tahun lalu

ALI MARA (kiri) dan isterinya, Selemiah Ariffin menyifatkan banjir di Kampung Tengah, Slim River sebagai yang terburuk sejak 53 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sebuah keluarga di Kampung Tengah, Kuala Slim, Slim River di sini menyifatkan banjir yang melanda rumah mereka semalam sebagai yang terburuk sejak 53 tahun lalu.

Ali Mara, 70, berkata, lebih memburukkan keadaan berbanding bencana pada 1971 adalah lumpur dan pasir dibawa bersama air banjir.

“Tidak dapat saya bayangkan kerugian dialami. Segalanya berlaku begitu pantas, dalam tempoh beberapa jam sahaja semasa hujan lebat, rumah saya ditakungi air.

“Habis peralatan elektrik seperti peti sejuk, periuk nasi, peralatan dapur, pinggan mangkuk dan perabot musnah. Saya fikir kerugian dialami lebih RM5,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kuala Slim di sini, semalam.

Isterinya, Selemiah Ariffin, 70, memberitahu, banjir kali ini sangat menakutkan, namun dia bersyukur kerana lapan cucu yang tinggal bersamanya selamat.

“Memang sukar kerana anak, menantu dan lapan anaknya tinggal bersama saya. Mereka kerja kampung. Jadi, berapa sahajalah pendapatannya.

“Namun yang penting mereka selamat, soal kerugian kita fikirkan kemudian,” katanya yang memaklumkan air naik sehingga paras dada semasa banjir itu.

Dia tidak menolak kemungkinan penerokaan hutan dan bukit untuk projek komersial dan ladang pertanian berskala besar menyebabkan banjir besar berlaku dengan kerap sejak akhir-akhir ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN