Banjir: Sungai, saliran di Bemban dibersihkan segera

Banjir: Sungai, saliran di Bemban dibersihkan segera

RAIS Yasin (kanan) mendengar taklimat ketika melawat PPS SK Tehel, Bemban, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kawasan perparitan, longkang serta sungai di Kampung Tanjong Laboh, Bemban di sini dan lokasi sekitarnya yang terlibat banjir akan dibersihkan bagi melancarkan aliran air, sekali gus mengelakkan berlakunya bah.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diarahkan untuk bertindak segera bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Katanya, beliau sendiri akan turun padang dalam masa terdekat bagi memantau kerja-kerja pembersihan berkenaan.

“Saya difahamkan kawasan ini memang kerap berlaku banjir kerana menerima taburan hujan yang tinggi dan berpotensi mengakibatkan air termenung. Ini kali pertama penduduk terjejas diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada tahun ini.

“Kita akan lakukan pembersihan dahulu dan saya yakin jentera akan masuk secepat mungkin. Saya sendiri akan melawat kawasan yang terjejas dan pastikan pihak JPS segera bertindak,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, semalam.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 20 mangsa banjir dari dua buah kampung iaitu Kampung Parit Lampong dan Kampung Tanjong Laboh masih berlindung di PPS.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sudah enam kali berdepan bencana banjir yang memusnahkan harta benda, seorang warga emas di Kampung Tehel memohon pihak berwajib meneliti masalah berkaitan sistem perparitan dan kelancaran aliran sungai.

Pemilik rumah, Isa Samat, 69, berkata, rumahnya yang terletak kira-kira 80 meter dari Sungai Ayer Panas sentiasa dinaiki bah setiap kali hujan lebat.

Tambah Rais, kerajaan negeri sememangnya menyediakan peruntukan sumbangan kepada mangsa banjir yang diselaraskan melalui pejabat daerah dan tanah (PDT).

“Difahamkan mangsa boleh datang terus ke PDT tanpa perlu membuat laporan polis. Mereka memiliki rekod penerima bantuan kepada yang layak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya