Banjir Pahang: Mangsa meningkat 1,526 orang, lapan PPS dibuka di Temerloh - Utusan Malaysia

Banjir Pahang: Mangsa meningkat 1,526 orang, lapan PPS dibuka di Temerloh

KEADAAN banjir yang melanda kawasan Kampung Gajah Mati dan Kampung Batu Kapor, Mentakab di Temerloh, Pahang. - FOTO/PENDUDUK MENTAKAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Hari kelima banjir di daerah ini tidak menunjukkan tanda reda apabila mangsa terus meningkat kepada 1,526 orang daripada 463 keluarga di lapan buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi hari ini.

Pertambahan itu berikutan dua buah lagi PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin yang menempatkan 96 mangsa daripada 36 buah keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab seramai 60 mangsa daripada 17 buah keluarga.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan sehingga pukul 8 pagi ini, empat PPS yang dibuka sejak 12 Oktober lalu masih menempatkan mangsa banjir kawasan Mentakab, iaitu dewan SMK Seri Semantan (693 mangsa, 213 keluarga), PPS SK Desa Bakti (566 orang, 163 keluarga), SK Mentakab (Chatin) seramai 23 orang mangsa (10 keluarga) dan PPS Masjid Kampung Bongsu, Mentakab seramai 20 orang mangsa (lima keluarga).

“Turut menampatkan mangsa sejak kelmarin, iaitu di kawasan Lanchang melibatkan PPS SK Lanchang masih kekal 36 mangsa (12 keluarga) dan PPS Balai Raya Mempateh seramai 32 mangsa (tujuh keluarga).

“Mangsa yang dipindahkan dan berada di lapan buah PPS tersebut, iaitu seramai 617 orang lelaki, wanita (452 orang), kanak-kanak lelaki (199 orang), kanak-kanak perempuan (188 orang), manakala bayi lelaki (36 orang) dan bayi perempuan (34 orang),” lapor portal tersebut di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, laman sesawang Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan pada pukul 9 pagi hari ini Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh mencatat paras kenaikan 36.18 meter, iaitu paras amaran berbanding sebelum ini 33.5 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN