PONTIAN: Seorang bayi lelaki berusia dua minggu antara 175 mangsa banjir yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom dan SK Parit Markom di daerah ini.
Menurut, Siti Zulaiha Abdullah, bayinya, Muhammad Ayden Aiys bersama tujuh ahli keluarganya yang lain terpaksa berpindah apabila rumah mereka di Kampung Batu Hampar, Sanglang, dekat sini dinaiki air.
“Saya dan suami, Muhammad Hakimi Abdullah, 20, dan enam ahli keluarga lain berpindah semalam kerana paras air semakin naik.
“Tiada banyak barangan dapat dibawa ke pusat pemindahan, hanya keperluan bayi seperti lampin, baju selain pakaian saya dan suami untuk semalam dua ini jika air tidak lagi surut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPS SK Seri Anom, di sini.
Muhammad Hakimi pula berkata, jika semalam paras air hanya setakat buku lali, tetapi pagi ini semakin naik sehingga paras lutut.
“Mungkin saya dan penduduk lain dari Kampung Batu Hampar akan bermalam sehari dua lagi memandangkan paras air semakin meningkat ditambah dengan air pasang,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Seorang lagi mangsa banjir, Parimin Ithnin, 41, sedih kerana keluarganya menghadapi banjir lagi selepas sebulan berlaku kejadian serupa melanda rumah mereka di Jalan Parit Keliling, Parit Lancang Ayer Baloi.
“Kami berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu, kami sudah tidak tahan berdepan dengan banjir setiap kali hujan lebat dalam tempoh lebih dua jam, rumah akan banjir,” katanya.
Sementara itu, banjir juga dilaporkan berlaku di Kampung Kolam Air di Simpang Renggam, menyaksikan beberapa keluarga dipindahkan ekoran rumah mereka dinaiki air.
Seorang penduduk, Isa Abu Bakara, 63, berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh, sekurang-kurangnya 13 keluarga di kampung itu akan dipindahkan ke PPS.
“Inilah rutin yang terpaksa dihadapi penduduk di sini apabila banjir tidak berkesudahan. Banyak barang rosak,” katanya.