KUALA SELANGOR: Lebih 1,400 penduduk di tiga kampung di Ijok di sini, resah berdepan risiko banjir apabila ban Sungai Buloh berhampiran kawasan berkenaan pecah buat kali kedua, kelmarin.
Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan ban sepanjang 50 meter itu rebak dan runtuh selepas situasi sama dialami pada 4 Oktober lalu menyebabkan risiko berlau banjir di Kampung Batu 7 Ijok, Kampung Parit Mahang dan Kampung Harmoni.
Penduduk, Ismail Ibrahim, 63, berkata ban utama yang menjadi benteng penahan itu dikhuatiri melimpahkan air memasuki kampung dan lebih membimbangkan jika melihat cuaca mendung dan hujan lebat berterusan yang pastinya akan menyebabkan berlaku bah banjir.
“Ban di kawasan itu pernah runtuh awal bulan ini hingga menyebabkan kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Kerja membaik pulih ban pecah itu baru disiapkan pada 16 Oktober lalu, namun kini berlaku pula runtuhan lain di kawasan sama,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Bagi Mohd. Razak Md. Basir, 38, dia memberitahu berasa amat bimbang banjir kembali melanda kerana kediamannya berada berdekatan ban tersebut.
“Rumah saya sering kali dinaiki air jika berlaku banjir dan masalah ban pecah menyebabkan keadaan kian buruk terutama pada musim tengkujuh. Tahun ini sudah empat kali banjir dan saya berharap masalah itu segera ditangani pihak berwajib,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Ijok, Mohamad Afandy Mohd. Dahlan berkata, masalah itu sedang diambil tindakan oleh pihak kontraktor yang dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semalam.
“Justeru, saya meminta pihak berkaitan memantau secara berterusan dan memastikan kerja baik pulih itu dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan. Isu runtuhan ban ini perlu diselesaikan kerana penduduk tidak mahu lagi berdepan banjir yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penduduk kawasan itu menggesa pihak berwajib segera membaik pulih ban pecah yang mengakibatkan banjir ‘termenung’ hampir seminggu.
Lebih teruk, limpahan air itu berbau busuk kerana turut membawa sisa sampah daripada tapak pembuangan haram berdekatan ban tersebut.
Seramai 151 mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Rendah Agama Ijok dan Dewan Rafulin, Bukit Badong kerana kediaman dan sebuah pusat jagaan warga emas ditenggelami air setinggi 0.5 meter. – UTUSAN