LIPIS: Penuntut bidang perguruan yang bakal menjadi pendidik diingatkan supaya menggalas profesion itu dengan sepenuh hati dan berdedikasi.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, sama ada ditugaskan di sekolah kerajaan ataupun mana-mana institusi pendidikan di negara ini, tanggungjawab yang akan dipikul bakal guru adalah penting memandangkan pembentukan pemimpin masa depan terletak di tangan mereka.
“Dalam sesebuah sekolah, kita ada budak pandai, ada tak pandai sangat, ada pandai bersukan, ada yang tak pandai bersukan, ada jenis kekok, malu, ada berconfident (keyakinan) dan juga ada yang tukang buli atau bukan jenis buli budak.
“Saya nak khabar kepada tuan-tuan dan puan-puan yang bakal cikgu di negeri dan negara kami ini, adalah penting untuk mengangkat generasi yang akan datang…nak jadi cikgu macam awak ini, yang akan membentuk apa akan jadi pada negara masa akan datang,” titah baginda ketika berangkat bercemar duli ke Program Sejambak Kasih Peribumi, Jiwa Madani di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di sini hari ini.
Turut berangkat ke program berkenaan, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tengku Hassanal turut mengingatkan bakal guru agar mengamalkan prinsip kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana ia nilai dan prinsip baharu yang penting ketika ini terutama bagi menjaga alam sekitar dan khazanah negara.
Tengku Mahkota Pahang turut memberi peringatan kepada bakal guru agar menjaga empat perkara penting iaitu keteguhan agama, menghargai wanita, menghormati undang-undang dan menjaga keharmonian antara bangsa serta kaum di Malaysia.
“Perkara paling penting adalah agama, tidak kira agama awak Islam ke, Kristian, Hindu atau yang lain-lain mesti pegang prinsip agama itu betul-betul. Kedua, adalah untuk lelaki yang mana kita mesti jaga wanita, memahami pengorbanan, kesusahan, pekerjaan, kesihatan wanita serta lain-lain.
“Ketiga adalah undang-undang, di sekolah, di luar sekolah, di luar institut kita pun ada juga undang-undang dan untuk bakal cikgu kita mesti ingatkan pelajar atau sesiapa pun undang-undang mesti dihormati dan diikuti, jangan mengajar orang buat salah atau menipu.
“Yang keempat adalah keharmonian kaum. Malaysia ini bukan semua satu kaum, kita bercampur kaum seperti Melayu, India, Cina, orang Borneo di Sabah dan Sarawak dan orang kita (Orang Asli). Saya harap semua orang akan ingat titah ini,” titah baginda. – UTUSAN