SABAK BERNAM: Hanyut dibuai cinta pertama menyebabkan seorang mahasiswa sebuah universiti swasta di negeri ini akhirnya ditangkap kerana bersekedudukan dengan teman lelaki yang merupakan rakan sekelasnya.
Malah, gadis berusia 24 tahun itu tidak menyangka kehidupannya melalui episod ‘gelap’ itu apabila dia mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang kuat kerana menamatkan persekolahannya di sebuah sekolah menengah agama.
Lebih dari itu, dia merupakan mahasiswa dalam bidang undang-undang syariah dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) semasa 3.75 dan bercita-cita mahu menjadi seorang peguam syarie.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, semua itu terjadi pada satu malam ketika pulang ke kampus bersama teman lelakinya dan ditangkap ketika berada di dalam kereta berdua-duaan.
“Ketika ditangkap warden, saya cuma fikir keluarga dan pengajian kerana berbaki satu semester sahaja sebelum bergraduasi. Selepas situasi itu saya berasa kesal dan tidak lagi berhubung dengan lelaki tersebut.
“Saya juga bersyukur dapat melalui pemulihan di Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, diberi peluang kali kedua untuk menamatkan pengajian bila keluar nanti, sementara kedua ibu bapa pula sentiasa memberikan nasihat dan mengajak saya melupakan perkara lalu,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Nur dianugerahkan sebagai Pelatih Harapan pada Majlis Apresiasi Pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan 2024 yang turut meraikan 22 pelatih lain dalam program itu.
Sementara itu, seorang bekas pelatih mahu dikenali sebagai Siti, 29, menasihatkan generasi muda terutama remaja selain mengelak daripada terjebak dengan masalah sosial, jangan pernah putus asa untuk berubah.
“Saya bersyukur dapat mengikuti pembelajaran di Baitul Ehsan, malah masih segar diingatan pengalaman dilalui di pusat perlindungan itu. Saya solat berjemaah, mengaji dan belajar ilmu agama selama enam bulan, semua itu saya amalkan bersama keluarga selepas keluar pada 2016.
“Saya tidak menyangka ditangkap khalwat ketika masih menuntut, pada tahun akhir pengajian. Teman lelaki juga belajar di tempat sama. Selepas kejadian itu, kami kesal dan nekad untuk sama-sama berubah. Kami diberi peluang kedua untuk tamatkan pengajian. Setahun kemudian kami kahwin dan kini ada tiga orang anak,” kongsi penerima Anugerah Khas itu.
Tambah Siti, dia kini menjadi seorang jurusolek dan pernah menyampaikan perkhidmatannya kepada figura-figura terkemuka termasuklah pengasas syarikat kosmetik yang terkenal.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Norzaihan Mohd. Zain menggesa masyarakat supaya tidak memberikan persepsi negatif terhadap pelatih yang menjalani atau keluar dari pusat perlindungan seperti di Baitul Ehsan.
Menurutnya, kesemua pelatih sangat komited membina kehidupan yang lebih baik, diterima masyarakat dan bertekad untuk tidak lagi mengulangi kesilapan lampau.
“Langkah kita ambil, kita tutup dan lindungi identiti mereka. Dari semasa ke semasa memang kita beri penerangan kepada masyarakat, siapa asnaf riqab, siapa yang membantu mereka, kita juga berpesan kepada masyarakat supaya terima mereka,” jelasnya. – UTUSAN