KUALA TERENGGANU: Sebanyak 200 ekor ayam segar yang dijual RM7 sekilogram habis dalam masa 30 minit sempena Jualan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Terengganu di Bukit Bayas, di sini, semalam.
Penduduk mula memenuhi pekarangan PPK Kuala Terengganu seawal pukul 7 pagi untuk membeli barangan keperluan di jualan tersebut.
Antara barangan yang dijual adalah telur ayam gred A berharga RM12 sepapan, daging RM27 sekilogram dan puyuh segar RM1 seekor.
Seorang penduduk Kampung Pasir Panjang, Abdul Ghani Razak, 48, berkata, dia mengambil kesempatan untuk membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah dalam jualan itu.
“Penganjuran Jualan Agro Madani itu banyak membantu meringankan beban penduduk terutama golongan B40,” katanya.
Seorang suri rumah, Azilah Mamat, 35, dari Kuala Ibai berkata, dia berharap program jualan iru dapat diteruskan untuk penduduk membeli barangan keperluan dengan harga murah.