Anwar mahu Malaysia jadi hab penjanaan AI - Utusan Malaysia

Anwar mahu Malaysia jadi hab penjanaan AI

ANWAR Ibrahim dalam ucapan majlis 'Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event' di sini hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan Malaysia sebagai hab penjanaan kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri berkata, sasaran lain juga adalah menjadikan negara ini sebagai hab pelaburan dalam kalangan rakan kongsi yang akan membina infrastruktur digital yang teguh dan selamat.

Sehubungan itu, katanya, dalam tempoh 12 bulan akan datang, kerajaan menyiapkan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026-2030 dan rangka kerja kawal selia untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI yang beretika dan mampan.

Katanya, kerajaan juga akan menubuhkan pejabat AI kebangsaan untuk menyelaras inisiatif dalam landskap AI global yang kompetitif.

“Kerajaan juga akan mempercepat penggunaan AI dalam sektor utama di seluruh Malaysia.

“Dengan memanfaatkan perkongsian dengan peneraju industri dan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan semua pihak berkepentingan, saya percaya, Malaysia boleh merealisasi matlamat ini.

“Pada masa sama, matlamat ini akan mewujudkan peranannya sebagai negara dipacu AI terkemuka di ASEAN,” katanya dalam ucapan majlis ‘Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event’ di sini hari ini.

Pada Mei lalu, kerajaan melancarkan AI Talent Roadmap for Malaysia (2024-2030) dan Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) dalam pelancaran Malaysia AI Nexus 2024.

Kesemua usaha itu bagi mengukuhkan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penubuhan sehingga 900 syarikat pemula AI serta lebih 13,000 bakat baharu menjelang 2026.

Dasar Pengkomputeran Awan Negara

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan kerajaan memperkenal Dasar Pengkomputeran Awan Negara atau National Cloud Policy yang akan menumpukan empat teras utama, menyaksikan kerajaan meningkatkan inovasi dan kecekapan dalam sistem perkhidmatan awam.

“Dengan memanfaatkan teknologi pengkomputeran awan, kerajaan menyasarkan memodenkan operasi, memupuk penglibatan rakyat dan memperkemas penyampaian perkhidmatan awam.

“Kerajaan berusaha menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, memacu pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat permulaan untuk memanfaat teknologi ini untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses kepada pasaran global,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan komited mengukuhkan kepercayaan pengguna dan keselamatan data yang mana kerajaan mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan untuk melindungi data sensitif serta infrastruktur kritikal dalam kedua-dua persekitaran pengkomputeran awan awam dan swasta.

“Kerajaan akan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital menyaksikan pendekatan kami berpaksikan rakyat dan inklusif, menggunakan teknologi pengkomputeran untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya