CHICAGO: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kes selesema burung H5N1 pada seekor babi di sebuah ladang belakang rumah di Oregon.
Jabatan Pertanian AS (USDA) berkata, ia adalah pengesanan pertama virus itu dalam haiwan berkenaan di negara tersebut.
Bagaimanapun, USDA berkata, tiada risiko kepada bekalan daging babi negara daripada kes di Oregon, manakala penularan selesema burung kepada orang ramai juga kekal rendah.
Babi menjadi kebimbangan dalam penyebaran selesema burung kerana boleh dijangkiti bersama virus burung dan manusia, kemudian bertukar gen serta membentuk virus baharu yang lebih mudah menjangkiti manusia.’
Haiwan itu merupakan punca wabak selesema H1N1 pada 2009 hingga 2010, dan dikaitkan sebagai sumber pandemik lain, kata Ahli Virologi Hospital Penyelidikan Kanak-Kanak St. Jude, Richard Webby.
Beliau berkata, penemuan virus di ladang kecil ini menjadikan jangkitan babi kurang membimbangkan berbanding jika dikesan pada ladang komersial.
“Saya fikir ia mungkin tidak meningkatkan risiko yang banyak, tetapi jika virus ini mula menjangkiti babi, ia masih berisiko,” katanya.
USDA berkata, ladang di Oregon dikuarantin dan haiwan lain termasuk kambing serta biri-biri kini dalam pantauan.
Katanya, babi dan ayam di ladang itu sudah dihapuskan untuk mencegah penyebaran virus dan membolehkan ujian tambahan kepada kes jangkitan.
Menurutnya, USDA masih menunggu keputusan ujian untuk dua ekor babi.
Jurucakap USDA berkata, kes jangkitan melibatkan ternakan babi itu berasal daripada burung liar dan bukan dari ladang ayam atau tenusu.- REUTERS