Anjur lebih banyak acara sukan antarabangsa di Johor

Anjur lebih banyak acara sukan antarabangsa di Johor

MOHD. NOORAZAM Osman (lima dari kanan) bergambar dengan para pemenang JGE2024 di Kelab Golf  Senibong, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor perlu memperbanyakkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa seperti penganjuran Kejohanan Antarabangsa Johor Golf Expo 2024 (JGE2024) yang berlangsung di Senibong Golf Club, di sini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, penganjuran kejohanan sedemikian memberikan pelbagai impak positif, khususnya dalam sektor pelancongan sukan, apatah lagi negeri ini mempunyai lebih 20 padang golf.

“Johor perlu perbanyakkan sukan bertaraf antarabangsa termasuk golf dan acara-acara lain yang dapat menarik penglibatan peserta dari pelbagai negara.

“Ini secara tidak langsung akan memberi impak positif terhadap sektor pelancongan seperti industri perhotelan dan industri runcit lain,” katanya pada Majlis Penutupan JGE2024 di Senibong Golf Club, malam tadi.

Mohd. Noorazam berkata, penganjuran acara sukan seperti itu akan turut melengkapkan lagi pelaksanaan inisiatif ekonomi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ).

“Ditambah dengan tukaran mata wang sebanyak tiga kali ganda dengan dolar Singapura, Johor mempunyai peluang baik untuk menjadi lokasi utama tumpuan pelancong, termasuk menerusi penganjuran acara sukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ), Zainal Abidin Zakaria berkata, penglibatan syarikat itu adalah untuk mengembangkan sukan golf di negeri ini kerana banyak kelab golf di Singapura sudah ditutup dan peminat sukan tersebut akan berkunjung ke Johor.

“Oleh itu, kami sertai bidang ini untuk melebarkan sayap perniagaan syarikat selain menjadikannya platform untuk memperkenalkan perniagaan teras kami kepada lebih ramai pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Champions Golf, Matthew A. Murray pula memberitahu, permainan golf bukan sekadar sukan atau aktiviti masa lapang, sebaliknya turut mendidik pemain tentang pelbagai aspek dalam kehidupan, terutamanya dalam mendepani  cabaran, membuat keputusan dan pilihan terbaik selain memastikan integriti setiap pemain sama ada di dalam dan luar padang.

JGE2024 mengumpulkan lebih 1,000 peserta dalam pelbagai kategori pertandingan golf termasuk Pro-Am Antarabangsa, Kejohanan Remaja Persatuan Golf Malaysia (MGA), Kejohanan Wanita dan aktiviti lain seperti Foot Golf dan Hari Keluarga Fairway. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya