GOPENG: Cameron Highlands sinonim dengan strawberi, teh dan sayur-sayuran yang segar.
Namun, Agrotech Profarm di sini menjadi alternatif bagi mereka yang ingin lari daripada kesesakan lalu lintas tetapi dapat menikmati anggur, jambu dan sayur-sayuran segar.
Malah di Agrotech Profarm pengunjung masih boleh menikmati suhu mencecah 19 darjah Celcius.
Seorang pengunjung, Abdul Hamid Ali, 35, berkata, beliau tidak menyangka terdapat tarikan anggur jenis Japanese Kyoho di kawasan agro pelancongan itu.
“Rasa anggur ini manis, rangup dan enak. Selain itu, pengalaman memetik buah premium yang hanya ditanam di sini sangat menarik.
“Anggur ini harganya RM150 sekilogram memang mahal tetapi ternyata berbeza dengan jenis lain di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Katanya, anggur itu juga ditanam secara organik tanpa baja dan racun kimia yang menjadikan rasanya lebih sedap.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Zaidah Zakaria, 35, teruja boleh merasai sendiri buah anggur selain dapat berswafoto sebagai kenang-kenangan.
“Jika mahu ke Jepun sememangnya tidak mampu, dapat menikmatinya sendiri di sini sudah mencukupi.
“Selain itu, boleh membeli jambu batu Taiwan dan sayur-sayuran segar seperti sawi, pak choy dan kangkung amat menarik. Tidak perlu jauh pergi ke Cameron Highlands,” katanya.
Katanya, cuaca di kawasan itu juga sejuk selain pemandangan gunung dan bukit yang indah boleh dijadikan sebagai terapi tersendiri kepada dirinya. – UTUSAN