Anak tikam bapa: Suspek sempat beli pisau sebelum jatuh atas jalan - Utusan Malaysia

Anak tikam bapa: Suspek sempat beli pisau sebelum jatuh atas jalan

LOKASI didakwa penduduk di mana suspek terjatuh dengan mulut berbuih di Pekan Senaling, Kuala Pilah semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Lelaki pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental yang dipercayai menikam bapanya dalam kejadian di Kampung Senaling, di sini semalam sempat membeli pisau lipat di sebuah kedai serbaneka sebelum dia jatuh di atas jalan.

Peniaga kedai buah, Lee Kien Huei, 40, berkata, dia sudah mendapat hebahan mengenai suspek dari pihak polis dan sebaik terlihat suspek tidak jauh dari kedainya, dia segera memaklumkannya kepada pihak polis.

Menurutnya, dia juga sudah menyimpan semua jenis pisau yang berada di kedainya sebelum didatangi suspek dan suspek kemudiannya ada memberitahu mahu membeli pisau.

“Saya memang kenal bapanya sebab selalu beli barang di kedai ni. Bapanya yang saya kenal sebagai Cikgu Amat juga pernah memberitahu ada anak sakit mental, saya pun pernah nampak anaknya itu dan anaknya tidak pernah kacau orang. 

“Apabila dia datang, saya pun nampak dia lain macam, mulutnya berdarah. Dia nak beli pisau, saya kata tidak jual pisau dan dia pergi kedai sebelah. 

“Sebaik sahaja dia keluar dari kedai sebelah, dia terus jatuh, saya ingat kena sawan sebab mulut berbuih dan polis pun sampai pada masa yang sama,” katanya ketika ditemui di Pekan Senaling, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang pesara guru maut selepas dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh anak lelakinya yang merupakan pemegang kad OKU mental dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Senaling di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, selepas menikam mangsa, suspek telah melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta dan telah dikesan dan berjaya ditemui di tepi jalan Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih.

Menurut Amran, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati suspek telah meninggal dunia dipercayai akibat meminum bahan peluntur.

Katanya, mayat mangsa dan suspek di bawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya