Anak kerap salam, cium tangan - bapa

Anak kerap salam, cium tangan – bapa

Anak lemas
HASLAM Mohd. Darus bersama isteri dan anak sulungnya menunjukkan gambar arwah dekat rumahnya di Kampung Sungai Kajang Lama, Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor. Allahyarham Hawanis Qalissha Haslam (gambar kecil) bersama guru tadikanya. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – “Siapa itu Izrail (malaikat) dan apa pekerjaan dia?”.

Demikian pertanyaan terakhir Allahyarham Hawanis Qalissha Haslam, 6, beberapa jam sebelum dia ditemukan tidak sedarkan diri akibat lemas selepas terjatuh dalam parit ketika bermain basikal di Kampung Sungai Kajang Lama, Tanjong Karang di sini, semalam.

Lebih memilukan apabila jasad kanak-kanak perempuan itu dijumpai ahli keluarga selepas keluar pergi ke rumah neneknya di kawasan berdekatan, kira-kira pukul 5 petang.

Bapa mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal kaki, Haslam Mohd. Darus, 39, berkata, ketika kejadian dia dan isteri sedang melakukan rutin mengemas kediamannya.

Menurutnya, bagaimanapun dia berasa pelik melihat ketiadaan Hawanis yang kebiasaannya akan pergi ke rumah neneknya pada sebelah petang dengan berbasikal.

“Saya kemudian keluar mencari di rumah ibu (nenek) yang terletak kira-kira 20 meter dan melihat basikal anak berada di tebing parit.

“Namun, saya tidak berupaya turun kerana masalah kaki dan meminta bantuan adik lelaki yang kebetulan melalui jalan tersebut,” katanya sebak ketika ditemui dekat rumahnya hari ini.

Jelas Haslam, usaha pencarian itu kemudian membawa kepada penemuan jasad anak bongsu daripada dua beradik berkenaan yang terapung di sekitar parit tersebut.

“Selepas dibawa adik naik ke tebing, saya berusaha menyelamatkan Hawanis dengan turut melakukan bantuan pernafasan namun gagal. Saya kemudian segera membawa jasad itu ke Hospital Tanjong Karang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” jelasnya.

Tambah beliau, arwah sebelum itu sempat bertanyakan soalan kepada anak sulung lelakinya berkaitan malaikat Izrail.

“Soalan itu ditanya berikutan diajar guru di tabikanya mengenai sebuah lagu berunsur agama yang popular. Saya tidak sangka ia petanda pemergian arwah dan Allah lebih menyayanginya. Dia juga kerap memanggil saya ‘daddy’ berbanding abah dan mencium tangan sejak kebelakangan ini,” luahnya.

Jenazah Allahyarham dimandikan di rumah keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Karang, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 9.01 malam.

“Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai bermain basikal sebelum ditemukan di dalam parit sedalam dua hingga tiga meter tersebut. Hasil bedah siasat pihak hospital mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya