KANGAR: Tidak sampai hati melihat ibu berseorangan ketika fenomena air pasang sedang melanda negeri ini, seorang anak mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi membantu dan menemani insan kesayangannya itu.
Norshuhada Said,38, yang menetap di Pulau Pinang meminta kebenaran suaminya untuk pulang sementara sepanjang tempoh air pasang yang dijadual sehingga 22 Oktober ini.
Katanya, setiap kali fenomena itu, rumah ibunya sememangnya akan dinaiki air sehingga turut mengundang kerugian.
“Disebabkan itulah, apabila saya melihat amaran daripada pihak berkuasa berhubung fenomena ini, saya minta kebenaran suami untuk pulang ke kampung sementara bagi membantu ibu yang berseorangan di sini.
“Malam ini, dijangka fenomena air pasang tersebut akan lebih buruk dengan jangkaan sehingga 3.7 meter. Semalam pun air memenuhi kawasan rumah ini.
“Rumah-rumah di kawasan sekitar juga dinaiki air akibat fenomena air pasang tersebut dengan ada rumah dinaiki air sehingga paras paha.
“Kami juga sudah bersiap sedia dengan memindahkan barang ke tempat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Fenomena air pasang besar yang melanda Perlis bermula dari 16 sehingga 22 Oktober di mana paras tertinggi air dijangka mencecah sehingga 3.7 meter pada awal pagi Sabtu.
Dianggarkan 400 keluarga membabitkan 1,000 orang di Kuala Perlis dijangka terjejas berikutan fenomena air pasang besar kali ini.
Setakat pukul 6 petang ini, sebanyak 41 mangsa dengan membabitkan 14 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.-UTUSAN