KUALA LUMPUR: Aktiviti persundalan di ibu negara dapat dikurangkan melalui siri serbuan dan dan tangkapan yang dilakukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Dr. Zaliha Mustafa berkata, terdapat pengurangan aktiviti persundalan yang berlaku di Kuala Lumpur.
Kata beliau, data tahun 2023 menunjukkan hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan sahaja berbanding suku ke-3 tahun ini.
“Ingin saya kongsikan statistik semenjak penubuhan KL Strike Force, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan telah menyerbu sebanyak 209 buah premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan.
“Statistik serbuan bermula dari tarikh 27 Mei 2024 sehingga 30 September 2024 menunjukkan seramai 781 orang telah ditangkap terdiri daripada 149 orang warga tempatan dan diikuti 632 orang warganegara asing berusia di dalam lingkungan usia 18 hingga 61 tahun,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta untuk menyatakan mengapa aktiviti persundalan, pergaduhan warga asing tanpa permit, dan kebanjiran penjaja warga asing di Kuala Lumpur masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force telah diaktifkan.
Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, tindakan pembanterasan giat dijalankan bagi menyekat aktiviti persundalan terutama di kawasan yang dikenal pasti berpotensi dalam menawarkan aktiviti tersebut.
Jelasnya, tiada tindakan pilih kasih sama ada penawaran persundalan golongan elit mahupun golongan bawahan, semuanya akan diambil tindakan yang sama.
“Cuma cabaran kita kini hotspot terbaharu persundalan yang dikenal pasti oleh KL Strike Force adalah kedai makan dan medan selera di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Loke Yew.
“Di mana modus sindiket ini telah bertambah kreatif dengan menjadikan premis-premis ini sebagai lokasi mengiklankan perkhidmatan persundalan mereka,” katanya.
Beliau berkata, KL Strike Force turut mendepani cabaran membanteras kegiatan persundalan yang sudah mula berpindah daripada premis konvensional kepada platform digital.
“Lebih-lebih lagi apabila rumah inap, hotel, dan kediaman peribadi turut dijadikan sarang aktiviti ini.
“Dalam hal ini, Kerajaan menyeru supaya komuniti setempat menjadi ‘mata-mata’ dan melaporkan aktiviti seumpama ini kepada Adu@KL 2.0 atau mana-mana saluran aduan agensi yang menjadi ahli KL Strike Force semudah dengan menggunakan hashtag #KLStrikeForce di hantaran sosial media,” jelasnya.