PETALING JAYA: Rang undang-undang tahanan rumah yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen tahun depan perlu dikhususkan untuk pesalah yang disabit dengan kesalahan kesalahan jenayah kecil sahaja.
Bagi pesalah kesalahan-kesalahan berat, pesalah itu perlu melalui hukuman lebih tegas di pejara.
Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tidak semua jenayah layak dikenakan hukuman tahanan rumah, dan rang undang-undang yang mahu dibentangkan itu perlu dikaji secara cermat bagi memastikan tidak disalahgunakan.
“Hukuman berat memerlukan tindakan yang lebih tegas dan tidak boleh disamakan dengan kesalahan kecil.
“Sistem ini perlu diteliti dengan cermat untuk memastikan bahawa jika wujudnya rang undang-undang tersebut hanya terpakai kepada kesalahan kecil dan tidak untuk jenayah berat. Selain itu, perlu ada mekanisme pemantauan bagi memastikan keberkesanannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Haniff berkata, pelaksanaan sistem ini tidak hanya akan mengurangkan bebanan ke atas institusi penjara, tetapi juga memberi peluang kepada pesalah untuk memperbaiki diri tanpa kehilangan sumber pendapatan dan kehidupan mereka.
“Dengan peningkatan populasi, kita tidak boleh lagi memindahkan penjenayah ke penjara setiap 10 tahun sekali. Kos dan pengurusan penjara juga perlu dipertimbangkan.
“Contohnya, golongan belia yang terlibat dalam aktiviti negatif seperti merempit dan vandalisme wajar diberikan hukuman tahanan rumah untuk mengelakkan mereka terjebak dalam dunia jenayah yang lebih berat,” kata beliau.
Oleh itu, kata beliau, kes-kes pesalah jenayah kecil ini sahaja yang paling layak untuk menjalani hukuman di rumah dan bukan membabitkan jenayah besar. – UTUSAN