PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan kononnya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memberi tekanan kepada peniaga kecil.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dakwaan itu disifatkan tidak munasabah dan tidak berasas sama sekali.
Beliau berkata, dakwaan kononnya peniaga kecil perlu membelanjakan sejumlah wang bagi menaik taraf kabinet pameran produk merokok juga dilihat tidak tepat.
“Sejujurnya ia menyentuh imaginasi saya kerana apa yang perlu dibuat hanya memasang penutup kabinet pameran dan mematuhi peraturan yang ditetapkan (dalam Akta 852).
“Saya tak rasa untuk pasang penutup memakan kos sehingga RM6,000, mungkin sekitar beberapa ratus ringgit sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) meminta KKM menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok di bawah Akta 852.
Presidennya, Hong Chee Meng dilaporkan berkata, larangan itu dilaksanakan tergesa-gesa tanpa sebarang perundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.
Dakwanya lagi, langkah itu membebankan perniagaan kecil tanpa sebarang pertimbangan kerana anggaran menunjukkan bahawa setiap peruncit mungkin menanggung kos sehingga RM6,000 untuk mematuhi larangan pameran.
“Secara keseluruhan, kos ini boleh mencecah hampir RM300 juta untuk pelaksanaan di seluruh negara menjelang 1 April 2025,” katanya.
Ditanya sama ada tempoh enam bulan penguatkuasaan Akta 852 membabitkan pameran produk yang dikatakan terlalu singkat, Dr. Dzulkefly berkata, tempoh itu adalah untuk penguatkuasaan bersifat pendidikan.