Ajaran sesat Cahaya dikesan di Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Ajaran sesat Cahaya dikesan di Kuala Pilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu fahaman bertentangan hukum syarak dikenali sebagai ajaran Cahaya dikesan di Kuala Pilah sejak setahun lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, ajaran didalangi oleh seorang lelaki berusia 60 tahun warganegara Singapura itu juga cuba mempengaruhi pengikutnya dengan ideologi penyatuan cahaya.

“Dia (pengajar) sebarkan penyatuan cahaya tu, dia rasa kalau ikut ajarannya sampai satu tahap kita ni sudah jadi macam cahaya. Bahkan perbuatan berpeluk-pelukan antara lelaki dan perempuan dalam kalangan ahli tiada masalah, sebab cahaya tiada nafsu.

“Kita siasat dan dapati ajaran ini bertentangan dengan hukum syarak antaranya dia mempercayai dia sebagai roh kudus bersatu dengan roh nabi-nabi, dari Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW ada di dalam jiwa dan roh dia.

“Dia juga menyatakan semua urat, darah, dia sudah mula berzikir dan sampai satu tahap dia tak perlu lagi berzikir dan dia rasa tak perlu lagi bersolat sebab sudah sampai satu tahap darjat tertinggi ikut fahamannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ujar Ahmad Zaki lagi, lelaki berkenaan juga mengakui kali terakhir dia menunaikan solat fardu adalah pada tahun 2021 dan hasil siasatan juga mendapati terdapat pengikut yang sudah menyertai ajaran tersebut sejak empat tahun lalu.

“Pengikut ni kebanyakannya diperdaya, mula-mula diceritakan benda yang nampak baik, lama-lama menyeleweng, ada dalam kalangan pengikut yang tersedar menarik diri termasuklah juga di Kuala Pilah ini,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, siasatan lanjut berkaitan ajaran sesat tersebut masih dijalankan dan pihaknya tidak menolak terdapat suspek-suspek lain yang ditahan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warganegara Singapura dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengajar ajaran salah dengan mengakui diri sebagai rasul dan mempunyai roh kudus.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya