KUANTAN: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis ekoran fitnah dan penipuan blogger, Datuk Zaharin Mohd. Yasin terhadap dirinya serta kerajaan negeri.
Ahli perniagaan terbabit, Datuk Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, kenyataan dimuat naik di laman Facebook aktivis itu semalam berniat jahat yang bertujuan menjatuhkan maruahnya dan kepimpinan kerajaan Pahang.
Menurutnya, kenyataan fitnah dan penipuan oleh blogger tersebut berdasarkan cerita daripada seseorang yang tidak disebut nama hanya dimaklumkan kontraktor di Pahang.
“Aktivis itu juga membuat andaian jahat dengan menyatakan saya telah memberi derma yang banyak kepada Tabung politik UMNO Pahang, menyebabkan Menteri Besar Pahang membisu dalam kes penipuan yang difitnah ke atas diri saya,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Zaharin dalam laman Facebooknya didakwa memuat naik kenyataan menfitnah Mohd. Nazrul Izad, UMNO dan Menteri besar Pahang.
Jelas Mohd. Nazrul Izad, beliau berharap polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Zaharin dan mana-mana individu yang terlibat dalam fitnah tersebut.
“Saya juga akan membawa perkara ini ke mahkamah dengan mengemukakan saman terhadap Zaharin dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN