Abdul Rahman beri jaminan R&R dibina di LTU bagi keselesaan pengguna - Utusan Malaysia

Abdul Rahman beri jaminan R&R dibina di LTU bagi keselesaan pengguna

ABDUL RAHMAN Mohamad (tiga dari kanan) sedang menyampaikan replika cek Faedah Pencen Penakat kepada seorang waris sempena Program Sosial Sinergi di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberi jaminan bahawa sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) tetap akan dibina di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini.

Beliau berkata, sebuah kawasan di Kampung Relong, Lipis, dekat sini sudah pun dicadangkan dan ada dalam pelan projek R&R LTU Gua Musang-Relong sepanjang 107 kilometer yang dirancang menerusi Pakej Tiga sejak 2022 lagi.

“Perkara ini (R&R) sudah ada dalam perancangan dan satu kawasan telah dicadangkan semasa saya menjadi Timbalan Menteri Kerja Raya sebelum ini dan tidak tahu kenapa projek R&R ini ditiadakan pada perancangan terakhir ini.

“Saya memberi jaminan perkara ini akan selesai dan yakin pengumuman oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan akan memohon peruntukan berjumlah RM20 juta daripada Pusat bagi membina R&R di LTU di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sosial Sinergi anjuran Perkeso Temerloh di sini hari ini.

Abdul Rahman diminta mengulas titah Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan R&R di LTU.

Hal yang sama juga disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya Ahli Parlimen dari Pahang membangkitkan isu pembinaan kawasan R&R di LTU negeri ini pada persidangan Dewan Rakyat tidak lama bagi keselesaan pengguna dalam jarak perjalanan jauh.

Abdul Rahman berkata, beliau akan mengambil tanggungjawab membangkitkan isu itu demi kemudahan orang ramai terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah berhenti rehat di situ.

Beliau berkata, tidak munasabah jika projek R&R ditiadakan di LTU antara Bentong hingga Gua Musang, Kelantan kerana pengguna jalan raya mengikuti perjalanan jarak jauh yang perlu berhenti rehat di tempat selesa.

“Pembinaan R&R juga dapat meningkatkan kebersihan dan keceriaan landskap sepanjang LTU apabila pengguna jalan raya tidak membuang sampah di merata-rata seperti mana kerap dilaporkan pada musim perayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN