LHOKSEUMAWE: Pemerdagang manusia meninggalkan puluhan pelarian Rohingya, termasuk kanak-kanak, terkandas di tepi pantai di Indonesia barat hari ini, manakala enam mayat ditemukan berhampiran.
Pegawai kampung di Aceh Timur, Saiful Anwar berkata, pelarian tersebut ditinggalkan awal pagi hari ini, kira-kira 100 meter dari pantai di Provinsi Aceh.
Beliau berkata, kumpulan tersebut termasuk 46 wanita, 37 lelaki dan tujuh kanan-kanak, manakala penduduk tempatan menemukan dua mayat di pantai serta empat lagi terapung di laut.
“Menurut maklumat daripada penduduk, mereka terdampar sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan). Nampaknya ada bot yang membawa mereka,” kata Saiful.
Katanya, lapan pelarian yang sakit dibawa untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Ketua Daerah Aceh Timur, Amrullah M. Ridha berkata, pelarian ini akan ditempatkan di dalam khemah di pantai sehingga pihak berkuasa memberikan tempat perlindungan kepada mereka.
Agensi pelarian PBB (UNHCR) berkata, pihaknya mengetahui mengenai ketibaan kumpulan tersebut, namun tidak dapat memberikan maklumat lanjut.
Ini adalah kumpulan ketiga ketibaan di barat Indonesia bulan ini, dengan lebih daripada 150 pelarian tiba di Aceh dan 140 lagi terkandas di provinsi Sumatera Utara.
Menurut UNHCR, 2,500 pelarian Rohingya tiba dengan bot di Aceh antara Januaria 2023 hingga Mac 2024.
Kumpulan etnik yang kebanyakannya muslim ini berdepan penganiayaan di Myanmar, dan ramai melarikan diri daripada tindakan ketenteraan serta mencari perlindungan di kem pelarian di Bangladesh.– AFP