80 peratus rakyat celik digital - Utusan Malaysia

80 peratus rakyat celik digital

AMIRUDIN Abdul Shukor (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib (kanan) pada Program Jelajah Saya Digital (JSD)@Kuantan di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kadar literasi digital rakyat terus menunjukkan trend peningkatan dengan kira-kira 80 peratus celik digital sekali meletakkan Malaysia di landasan tepat dalam penguasaan digital.

Ketua Perkhidmatan Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Amirudin Abdul Shukor berkata, Malaysia juga berada di tangga 33 dunia daripada segi kedudukan global inovatif pada tahun ini sekali gus menunjukkan penguasaan masyarakat dalam dunia digital.

“Kedudukan inovatif memang sudah rasmi tahun lalu, salah satu daripada parameter untuk kita dapat ‘ranking’ nombor 33 itu salah satunya ialah celik digital.

“Jadi pada masa ini belum lagi (100 peratus celik digital) lagi tetapi kita bergerak sekurang-kurangnya 80 peratus itu sudah cantik sebenarnya sebagai sebuah negara membangun,” katanya dalam sidang akhbar pada program Jelajah Saya Digital (JSD)@Kuantan dan Pahang Teknologi Revolusi Expo (TReX) 2024 di sini.

Amirudin berkata, perkembangan teknologi maklumat terus berkembang pesat di negara ini apabila kanak-kanak pun dilihat mampu menguasai teknologi digital dengan baik.

Beliau berkata, pengetahuan tentang teknologi di bandar adalah lebih sedikit berbanding kawasan luar bandar.

Justeru katanya, MDEC akan memastikan tiada rakyat Malaysia sama ada di bandar ataupun luar bandar yang akan ketinggalan dalam arus teknologi digital.

“Jadi kita kena juga bekerjasama dengan kerajaan negeri, sekurang-kurangnya mereka dapat keterhubungan digital, jadi mereka boleh melakukan urusan secara digital.

“Kita juga perlukan sokongan daripada semua, sama ada pihak pembekal internet untuk bantu kita mendapat capaian telekomunikasi di seluruh Malaysia supaya sekurangnya kita dapat capai 80 peratus pencapaian ‘connectivity’,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sejak program JSD diperkenalkan empat tahun lalu, jumlah penyertaan keseluruhannya merekodkan sebanyak 53,786 peserta dengan seramai 2,631 peserta adalah dari Pahang.

Katanya, pada tahun ini, MDEC mensasarkan seramai 40,000 peserta akan menyertai program JSD di 31 lokasi seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN