TANAH MERAH: Sebanyak 782 kilogram (kg) minyak masak peket dikesan disumbat dalam sebuah kereta jenis Proton Waja untuk diseludup ke negara jiran di Kampung Kemahang di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 3.30 petang itu, pemandu kereta tersebut bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kereta itu membawa kepada penemuan 782 kilogram minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk tujuan penyeludupan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan termasuk kenderaan yang digunakan untuk penyeludupan bernilai RM8,955
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan akan terus meningkatkan lagi operasi dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan barang kawalan seperti minyak masak di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.-UTUSAN